Remaja 17 tahun buat tiga kerja untuk beli 900 kuntum bunga
Madiha Abdullah
Februari 15, 2016 09:26 MYT
Februari 15, 2016 09:26 MYT
SEORANG pelajar berusia 17 tahun di Utah, Amerika Syarikat, sanggup menghabiskan wang gajinya demi menggembirakan rakan-rakan perempuannya di sekolah yang belum berteman, sempena Hari Kekasih.
Hayden Godfrey, yang bekerja sambilan, sanggup melakukan tiga kerja berbeza; iaitu di McDonald's, restoran Mexico dan kedai runcit, demi mengumpulkan wang untuk membeli 900 kuntum bunga teluki (carnation).
Godfrey, sebelum ini sering menghadiahkan bunga untuk rakan-rakan sekelasnya setiap tahun apabila Hari Kekasih menjelma. Ia dilakukan Godfrey atas rasa simpati apabila melihat rakan perempuan yang masih solo, kelihatan sedih apabila tidak menerima hadiah pada hari itu.
Namun tahun ini, dia berhasrat mahu menggembirakan hati lebih ramai orang dengan menghadiahkan semua gadis yang masih solo di sekolahnya sekuntum bunga setiap seorang.
Dia dibantu 20 orang rakan yang membantunya mengagihkan bunga-bunga itu, di mana keseluruhan 834 orang gadis menerima kuntuman bunga berkenaan.
Godfrey yang sudah mempunyai teman wanita, membelanjakan AS$450 (RM1,867) untuk kesemua bunga tersebut.