Redakan 'amukan' PMS dengan enam jenis makanan

Madiha Abdullah
September 5, 2020 10:00 MYT
Kerap makan adalah salah satu simptom PMS. -Gambar fail
KELETIHAN, jerawat, kembung, mengidam, perubahan mood. Ini keadaan biasa yang akan dialami wanita beberapa hari menjelang haid.
Keadaan yang dinamakan PMS (pre-menstrual syndrome) ini biasanya akan bermula seminggu atau dua minggu sebelum haid.
Dianggarkan 85 peratus wanita mengalami sekurang-kurangnya satu daripada gejala tersebut setiap bulan, menurut American College of Obstetricians and Gynecologists.
Namun berita baik, kerana PMS, walaupun tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, tetapi gejalanya boleh dikurangkan menerusi pengambilan makanan tertentu.
Yogurt rendah lemak
Menurut kajian penyelidik di University of Massachusetts, diet yang kaya dengan kalsium dan vitamin D dapat menurunkan risiko PMS.
Satu cawan yogurt rendah lemak mengandungi 448 mg kalsium, atau kira-kira 45 peratus daripada keperluan harian anda.
Ia juga sarat dengan protein, yang mengawal kadar gula dalam darah.
Biji labu
Biji labu mempunyai zink yang mampu meningkatkan kemampuan melawan keradangan, yang biasanya menyebabkan kemurungan dan keresahan.
Ia juga kaya dengan magnesium, nutrien yang dikenali sebagai chill pill yang asli.
Avokado
Kajian rawak yang diterbitkan dalam Reproductive Health menilai keberkesanan asid lemak penting untuk merawat PMS.
Wanita yang diberi pil yang mengandungi asid lemak penting, termasuk asid oleik selama enam kitaran berturut-turut berjaya mengurangkan gejala PMS.
Tiga perempat kalori avokado berasal daripada lemak, kebanyakannya monosaturated fat dalam bentuk asid oleik.
Teh kamomil
Dalam satu kajian di Pusat Perubatan Universiti Pennsylvania di Amerika Syarikat, pesakit dengan kecelaruan keresahan umum (GAD) yang mengambil suplemen kamomil selama lapan minggu mengalami penurunan gejala yang ketara.
Kamomil juga membantu melegakan kekejangan otot dan dapat mengurangkan kekejangan ketika haid.
Coklat pahit
Jika anda penggemar coklat, inilah excuse yang diperlukan untuk makan coklat!
Coklat pahit atau Dark chocolate didapati dapat mengurangkan stres dan membantu menormalkan perbezaan tekanan dalam metabolisme tenaga serta aktiviti mikrobial usus.
Pisang
Pisang kaya dengan kalium, yang dapat membantu melegakan kekejangan sebelum dan semasa kitaran haid.
Kalium juga baik untuk perbaiki mood.
Pisang juga boleh bertindak sebagai anti-depresan, menenangkan sistem saraf, membantu perbaiki kualiti tidur serta membantu melawan keletihan yang berkaitan dengan PMS.
#biji labu #diet #kekejangan #kitaran haid #makanan #perubatan #pisang #PMS #pre-menstrual syndrome #wanita
;