Ratusan masyarakat Siam mandi air, sambutan Songkran meriah di Pulau Pinang

Bernama
April 14, 2024 07:50 MYT
Songkran atau Tahun Baharu Thai disambut meriah oleh masyarakat keturunan Siam di Pulau Pinang dengan meneruskan tradisi pesta air dan mengunjungi kuil Wat Chaiyamangalaram. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Songkran atau Tahun Baharu Thai disambut meriah oleh masyarakat keturunan Siam di negeri ini dengan meneruskan tradisi pesta air dan mengunjungi kuil Wat Chaiyamangalaram yang terletak di Lorong Burma, di sini.
Tinjauan Bernama mendapati laluan di sepanjang jalan tersebut sesak kerana selain masyarakat Siam, rakyat Myanmar di negeri ini turut meraikan pesta sama bersempena tahun baharu Myanmar dikenali sebagai Festival Thingyan.
Kedudukan Wat Chaiyamangalaram dan Kuil Burma Dhammikarama yang terletak berhadapan antara satu sama lain membuatkan sambutan pesta air itu bertambah meriah dengan kehadiran ribuan penganut Buddha daripada kedua-dua masyarakat tersebut dengan masing-masing dilihat basah selepas 'berperang' air.
Tidak ketinggalan golongan wanitanya yang ayu berpakaian tradisional, selain deretan gerai didirikan berhampiran kuil yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional sempena sambutan tahun baharu kalendar Thai itu yang berlangsung tiga hari bermula 13 April pada setiap tahun
Sementara itu, sambutan Songkran di Wat Buppharam dekat Jalan Perak pula sedikit berbeza apabila sebuah jentera bomba sukarela didatangkan khas dengan menyembur air ke arah pengunjung yang membuatkan suasana bertambah gamat.
Kanak-kanak dilihat paling seronok dengan masing-masing membawa pistol air berwarna-warni dan saling melepaskan 'tembakan' air.
Pekerja swasta, Leow S.J, 42, berkata dia membawa dua anak lelakinya untuk bermain air tambahan pula dengan cuaca panas sesuai untuk mereka menyejukkan badan sambil bergembira.
"Saya memang selalu mengunjungi kuil ini, kebetulan ada sambutan pesta Songkran hari ini jadi saya bawa sekali anak-anak. Mereka sangat teruja bermain air dengan orang ramai di sini meskipun saling tidak mengenali," katanya ketika ditemui Bernama.
Fong Kim Fatt, 74, pula berkata dia datang dari Bukit Mertajam bersama anak dan seorang cucu bagi melakukan upacara keagamaan selain melihat kemeriahan pesta Songkran yang diadakan di situ.
"Saya berdoa agar tahun baharu memberikan lebih tuah selain kesihatan yang baik dan berpanjangan," katanya.
Sementara itu, seorang sukarelawan kuil memberitahu sambutan itu diadakan setiap tahun di kuil berkenaan tetapi tahun ini lebih bermakna apabila bomba sukarela dari Persatuan Bomba Sukarela Jalan Perak menghantar sebuah jentera bagi memeriahkan suasana.
Menjadi sebahagian budaya dan tradisi masyarakat Thai untuk menyambut tahun baharu dengan menyimbah air terhadap satu sama lain bagi mencuci dosa dan nasib malang dengan mempercayai ini akan membawa tuah serta rahmat bagi tahun mendatang.
Selain daripada pertempuran air, Songkran disambut dengan mengunjungi wat untuk melakukan acara memandikan patung Buddha.
Ketika upacara ini air wangi dicurahkan ke atas patung-patung itu sebagai simbolik kepada pencucian dosa daripada tahun lalu.
-- BERNAMA
#Songkran #masyarakat Siam #Tahun Baharu Thai #pulau pinang
;