Ratu Cantik Slovenia yang lumpuh bawa inspirasi baru di pentas Miss Universe
Kohilah Sekaran
Disember 21, 2015 17:24 MYT
Disember 21, 2015 17:24 MYT
RATU Cantik Slovenia mungkin tidak dapat memenangi gelaran Ratu Miss Universe 2015, tetapi dia berjaya memenangi sokongan ribuan peminat hari ini di Planet Hollywood, Las Vegas.
Menurut laporan portal E! Online, Ana Halozan mengalami lumpuh pada bahagian kanan mukanya akibat komplikasi kesihatan sebelum pertandingan di Las Vegas.
Menurut Ana, dia mempersoal dirinya selepas doktor memberitahu keadaannya itu.
“Apa yang berlaku pada saya? Apa yang saya telah lakukan sehingga saya perlu menghadapi situasi ini?” soal Ana.
Tambah Ana, apabila doktor memberitahunya bahawa dia tidak boleh mengambil bahagian dalam pertandingan itu, dia tegas dengan keputusan untuk menghadiri pertandingan tersebut.
Ternyata, impian beliau dapat menjadi kenyataan apabila pengacara, Steve Harvey memperkenalkannya di pentas dengan mengatakan, “dia fikir dia telah kehilangan peluang, tetapi dia tidak.”
Memakai gaun berwarna merah, kehadiran Ratu Cantik Slovenia di pentas disambut meriah oleh semua penonton yang hadir.
Dia juga menerima sejambak bunga daripada pemenang Miss Universe 2014, Paulina Vega.
Keberanian peserta Slovenia nyata mengundang pujian di kalangan netizen di media sosial.
Rata-rata netizen berkata Ana membawa maksud kecantikan yang baru iaitu, penampilan muka tidak penting malah keyakinan diri serta kekuatan minda cukup untuk seseorang wanita.
Ratu cantik Filipina, Pia Alonzo dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Miss Universe 2015, dalam pusingan akhir yang berlangsung sebentar tadi di Planet Hollywood, Las Vegas.
Manakala, tempat kedua pula dimenangi oleh Ratu Cantik Colombia, Ariadna Gutierrez dan tempat ketiga dimenangi oleh Ratu Cantik USA, Olivia Jordan.