Ratu cantik Malaysia masih punya potensi, ujar Miss Universe 2017

Syafik Shukri Jalil
Disember 10, 2018 13:13 MYT
DEMI LEIGH: Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini sekiranya anda bekerja keras.
Kegagalan mendapat tempat dalam pusingan separuh akhir seterusnya membawa pulang mahkota Miss Universe tidak bermakna Malaysia akan terus gagal.
Itu semangat dan motivasi yang diberikan oleh Miss Universe 2017, Demi Leigh Nel-Peters.
“Afrika Selatan menanti selama 39 tahun sebelum saya dapat membawa pulang mahkota Miss Universe yang kedua,” kata Demi semasa sesi temu bual ringkas bersama Astro AWANI pada Ahad.
Kali pertama dan terakhir wakil Malaysia berjaya melepasi pusingan Top 15 adalah pada 1970 menerusi Josephine Lena Wong ketika penganjuran acara itu yang ke-19 di Miami, Amerika Syarikat.
Sehingga kini, Malaysia masih menghantar wakil yang berpotensi dan mampu memberi saingan kepada peserta lain dari seluruh dunia namun gagal untuk merebut mahkota kejuaraan.
“Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini sekiranya anda bekerja keras, meletakkan dedikasi yang tinggi dan fokus kepada matlamat anda,” tambahnya.
Untuk edisi ke-67, Malaysia diwakili Jane Teoh yang sememangnya menjadi sandaran utama untuk Malaysia memenangi mahkota kejuaraan buat kali pertama tahun ini.
Jane akan bersaing bersama 92 peserta lain dari seluruh dunia.
Wanita berusia 23 tahun ini ditemui di Kuala Lumpur semasa pelancaran produk kecantikan MUCA Skin Care yang turut menjadi penaja untuk Miss Universe 2018 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand 17 Disember depan.
Temu bual penuh anda boleh saksikan dalam rancangan Rupawan AWANI yang akan disiarkan pada Sabtu (15 Disember 2018) jam 11 malam.
#Demi Leigh Nel-Peters #Miss Universe #ratu cantik #wakil malaysia #wakil negara
;