Ratu cantik Malaysia Harveen Kaur tawan Puncak Mera namun hilang jari akibat luka beku
Bernama
April 28, 2024 22:49 MYT
April 28, 2024 22:49 MYT
KUALA LUMPUR: Menerusi satu lagi pencapaian yang menakjubkan dari segi ketahanan dan keazaman, ratu cantik Malaysia Datin Harveen Kaur berjaya menawan Puncak Mera yang merupakan penaklukan keduanya dalam tempoh tujuh bulan namun hilang jari ketiga akibat luka beku.
Terletak di tengah-tengah Banjaran Himalaya di Nepal, Puncak Mera yang berada di ketinggian 6,470 meter dari paras laut itu mampu memberikan cabaran hebat meskipun kepada pendaki paling berpengalaman.
Diiringi malim gunung etnik Sherpa, Harveen Kaur, 44, memulakan perjalanan yang sukar itu dan berjaya sampai ke puncak pada 11 April lepas.
Pencapaian itu menyusuli pendakian bersejarahnya di Gunung Kilimanjaro, puncak tertinggi di Afrika, di mana dia berjaya tiba ke Puncak Uhuru yang berketinggian 5,895 meter pada 24 Sept tahun lepas.
Pencapaian luar biasa Harveen Kaur di Gunung Kilimanjaro membolehkan namanya tercatat di dalam Malaysia Book of Records sebagai 'Ratu Cantik Pertama Berjaya Sampai ke Puncak Gunung Kilimanjaro.'
Bagaimanapun, pendakian ke Puncak Mera memberikan cabaran yang jauh lebih hebat.
Selain terpaksa bertahan ketika suhu menjunam sehingga negatif 25 darjah Celsius, Harveen Kaur berdepan cabaran pahit pengalaman mendaki gunung beraltitud tinggi apabila kehilangan jari ketiga tangan kiri akibat luka beku.
"Ia terlalu sejuk," katanya selepas kembali ke Malaysia ketika mengimbau kembali kesulitan yang dialami ketika mendaki puncak itu.
Enggan terus mengingati peristiwa pahit itu, Harveen Kaur sudahpun meletakkan sasaran untuk menakluki gunung lain pada Disember ini.
Selepas pencapaiannya dalam dunia pertandingan ratu cantik, yang menyaksikan beliau merangkul gelaran Mrs Malaysia World pada 7 Sept 2017, Harveen Kaur terus memberi inspirasi dengan semangat pengembaraan dan kemahuan yang jitu untuk menawan puncak baharu.
-- BERNAMA