TAIPING: Dilahirkan pada 31 Ogos 1957 iaitu tarikh sama bergemanya laungan "Merdeka" oleh Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, memberi satu perasaan istimewa bagi mereka yang berkongsi tarikh keramat itu.

Badrol Hisham Mohamad Norashid, 67, yang lahir tepat pada 8.05 pagi di Lambor Kanan, Parit, berkata beliau berasa bangga dan teruja setiap kali menyambut ulang tahun kelahirannya.

"Saya bangga dan bersyukur berkongsi umur dengan tarikh keramat 31 Ogos yang merupakan detik amat bersejarah buat negara," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata sepanjang hayatnya, beliau pernah diberi peluang membaca ikrar Rukun Negara di hadapan Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Sultan Perak ketika itu semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-50 pada 2007 di Dewan Bandaran Ipoh.

Badrol Hisham berkata ketika itu beliau berasa bangga dan terharu kerana terpilih membacakan ikrar di hadapan Sultan Perak serta ribuan rakyat Perak.

"Saya juga masih ingat semasa tahun 80-an, kebanyakan pasar raya akan memberikan kek secara percuma kepada mereka yang lahir pada 31 Ogos bagi meraikan ulang tahun kami dan hari kemerdekaan negara," katanya yang merupakan pesara kerajaan dan kini menetap di Meru Raya, Ipoh.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim dan turut dihadiri Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM) Perak Shahida Mohamad Salleh.

Sementara itu, Shahida dalam ucapannya berkata menerusi Program Pencarian Anak Merdeka yang dianjurkan tahun lepas berjaya mengumpul maklumat dan data 91 individu yang lahir serta pemastautin di negeri ini.

"Pada tahun ini, buat julung kalinya ANM Perak meraikan anak merdeka negeri Perak yang menyambut kelahiran pada 31 Ogos daripada pelbagai peringkat usia tanpa mengira agama dan bangsa.

"Kita mengadakan pelbagai pengisian aktiviti selama satu hari di Zoo Taiping ini dan ia secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim dan semangat perpaduan serta cintakan negara," katanya.

-- BERNAMA