Ramai rakyat Malaysia dapat penyakit jantung pada usia muda

Bernama
Oktober 10, 2018 13:38 MYT
rakyat negara ini mendapat penyakit jantung pada usia 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), negara Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun). - Gambar hiasan
Penyakit jantung atau kardiovascular (CVD) menyerang rakyat Malaysia pada usia yang lebih muda berbanding di negara jiran, demikian menurut Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof.
Merujuk kepada Laporan Kementerian Kesihatan 2017, rakyat negara ini mendapat penyakit jantung pada usia 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), negara Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2014 pula menyebut kadar kematian akibat CVD di kalangan rakyat Malaysia ialah 36 peratus.
Dianggarkan 17.7 juta meninggal dunia akibat CVD pada 2015, iaitu 31 peratus daripada keseluruhan kematian CVD di dunia.
Dr Ahmad Khairuddin mengaitkan CVD termasuk serangan jantung dan strok dengan kandungan kolesterol yang tinggi di dalam darah.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, dianggarkan 47.7 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kolesterol darah yang tinggi, yang dikenali juga sebagai "hypercholesterolemia".
Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding 32.6 peratus pada 2011.
"Perubahan tingkah laku individu berkait dengan gaya hidup adalah penting. Perlu lebih banyak senaman, makan makanan sihat, elakkan alkohol dan lemak tidak tepu pelbagai 'polyunsaturated fat' dan kurangkan kalori.
"Meskipun rawatan termasuk rawatan perubatan statin boleh membantu mengurangkan kolesterol yang tinggi, pencegahan lazimnya lebih baik dan mengamalkan gaya hidup yang sihat penting untuk mengurangkan risiko, " jelas beliau.
Beliau menambah beberapa kesan CVD termasuk ketidakmampuan fizikal, beban kewangan, tekanan emosi bukan sahaja yang ditanggung pesakit tetapi juga penjaga mereka.
Dr Ahmad Khairuddin ditemui ketika pelancaran "Repatha (evolocumab)" iaitu kaedah rawatan baru untuk kolesterol jahat (LDC-C) yang tinggi dan tidak dapat dikawal, anjuran Zuellig Pharma di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KENALI KOLESTEROL
Kolesterol adalah sejenis lemak yang terdapat dalam darah.
Di samping organ hati manusia yang menghasilkan kolesterol ini, ia juga boleh didapati di dalam sesetengah makanan seperti daging merah, keju mengandungi lemak yang tinggi, mentega dan telur.
Ketahuilah bahawa kolesterol penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik, umpamanya untuk pencernaan makanan, penghasilan hormon serta vitamin D.
Bagaimanapun, perlu diingatkan paras kolesterol yang tinggi di dalam darah mungkin boleh menyebabkan penyakit jantung atau kardiovaskular (CVD) termasuk serangan jantung dan strok.
Kolesterol mungkin wujud dalam dua bentuk iaitu kolesterol "high-density lipoprotein" (HDL-C atau kolesterol baik) dan kolesterol "low density lipoprotein" (LDL-C atau kolesterol jahat).
Peranan HDL adalah untuk mengambil kolesterol dari tisu ke hati untuk disingkirkan daripada tubuh yang dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, sementara LDL pula membawa kolesterol ke tisu yang mungkin menyumbat salur darah. Oleh yang demikian, paras tinggi LDL dikenali sebagai faktor risiko utama untuk CVD.
"Gaya hidup yang tidak sihat serta corak pemakanan yang tidak seimbang, obesiti, menghisap rokok, pengambilan gula yang tinggi dan penyakit lain seperti diabetes melitus atau kegiatan kelenjar tiroid yang rendah adalah antara punca peningkatan kolesterol dalam darah. Di samping itu, kelainan genetik yang menyebabkan paras tinggi LDL-C dipanggil "Familial Hypercholesterolemia" (FH) juga menyumbang kepada penyakit ini.
"Ada dua jenis FH iaitu 'Heterozygous Familial Hypercholesterolemia' (HeFH) dan 'Homozygous Familial Hypercholesterolemia' (HoFH). HeFH berlaku apabila mutasi genetik diwarisi daripada ibu atau bapa sementara HoFH (versi yang lebih teruk) diwarisi daripada ibu dan bapa. Keadaan ini memerlukan rawatan segera kerana ia boleh menyebabkan CVD lebih awal, " beliau memberitahu Bernama.
"PEMBUNUH SENYAP"
Kebanyakan mereka yang mempunyai kadar kolesterol tinggi tidak mempunyai gejala dan ramai yang tidak sedar akan keadaan kesihatan mereka.
Ini akan hanya dapat dikesan apabila ujian darah dilakukan, justeru, ia juga dikenali sebagai "pembunuh senyap."
Menurut Dr Ahmad Khairuddin, sekiranya keadaan ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan 'atherosclerosis', iaitu pengumpulan kolesterol di dalam arteri atau pembuluh darah yang kemudiannya membentuk deposit dipanggil plak.
"Plak terdiri daripada lemak, kolesterol, kalsium serta benda lain yang terdapat dalam darah dan akan mengeras, kemudiannya menyempitkan arteri. Keadaan ini menghadkan aliran darah yang kaya dengan oksigen ke organ dan bahagian lain tubuh.
"Ini boleh menyebabkan 'angina' atau sakit dada yang berlaku apabila bekalan darah ke jantung terjejas akibat arteri yang tersumbat, atau serangan jantung sekiranya arteri yang sarat dengan plak pecah dan berlaku darah beku, atau strok jika aliran darah ke otak tersekat akibat arteri yang tersumbat, " jelasnya.
Di sebalik tanda yang tidak jelas, Dr Ahmad Khairuddin bagaimanapun berkata, seseorang itu mungkin perlu melihat beberapa "tanda awal" terutama di atas kulit mereka untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai penyakit berkenaan.
Ini mungkin tanda fizikal seperti tompok kuning di sekitar kulit kelopak mata dikenali sebagai 'xanthelasma palpebrarum', kelihatan 'lengkuk' putih atau kelabu di dalam mata "Arcus senilis' atau deposit kuning (benjol) di dalam tendon yang dipanggil 'xanthomata'.
RAWATAN "REPATHA"
Ubat 'statin' yang biasanya diberikan untuk mengurangkan LDL-C yang tinggi, bagaimanapun tidak cukup bagi sesetengah pesakit.
Dalam hal ini, Repatha - sejenis perencat 'proprotein convertase subtilisin/kexintype 9' (PCSK9) untuk menurunkan paras kolesterol darah yang tinggi penting bagi mengurangkan LDL-C bagi pesakit yang tidak mendapat kesan optimum terapi menggunakan statin.
Juga dikenali sebagai rawatan baru untuk LDL-C yang tinggi dan tidak dapat dikawal, Repatha boleh digunakan secara kombinasi dengan statin untuk pesakit yang tidak dapat mencapai pengurangan LDL- C walaupun diberi dos statin yang maksimum.
Sementara itu, Perunding Pakar Kardiologi, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Choo Gim Hooi yang turut berada di majlis berkenaan berkata kombinasi Repatha dan statin mungkin dapat mengurangkan LDL-C sehingga 77 peratus berbanding terapi statin semata-mata.
"Repatha adalah selamat untuk digunakan dan tidak ada kesan sampingan yang besar. Ini adalah antara inovasi paling penting dalam pengurusan kolesterol sejak 30 tahun.
"Kami akan memantau kesannya ke atas kehidupan pesakit dan penggunaannya juga dapat membantu mengurangkan kos CVD, " kata Dr Choo. Rawatan Repatha dibuat setiap dua minggu atau bulanan, secara suntikan.
Repatha boleh diperolehi di Malaysia sejak April 2018 dan diedarkan oleh Zuellig Pharma serta dikilangkan oleh Amgen. - Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
#China #jantung #Kanada #kardiovaskular #Kementerian Kesihatan #kesihatan #kolestrol #Malaysia #perubatan #rakyat #serangan #Thailand
;