Ramai penduduk capai usia 100 tahun, saintis kaji rahsia bandar Itali

Nizam Bakeri
April 1, 2016 17:06 MYT
Penduduk Acciaroli mengamalkan tabiat pemakanan Mediterranean dan sentiasa mendaki bukit pada waktu lapang. - Foto fail
Bandar Acciaroli terkenal sebagai salah sebuah lokasi pesisir pantai paling indah di selatan Itali.
Namun yang lebih menarik perhatian para saintis San Diego School of Medicine untuk ke bandar ini ialah para penduduknya yang panjang umur.
Daripada populasi 2,000 orang di Acciaroli, sejumlah 300 penduduk mencecah usia 100 tahun.
Mereka juga terkenal sebagai bandar yang mempunyai jumlah penghidap penyakit jantung dan Alzheimer yang rendah.
“Kajian jangka masa panjang ini untuk mencari sebab 300 orang ini hidup lama melalui analisis genetik dan pemeriksaan gaya hidup seperti tabiat pemakanan dan senaman,” jelas profesor perubatan kardiovaskular Dr Alan Maisel kepada Independent.
Hasil kajian tersebut, tambah Maisel, akan diaplikasi dalam proses perubatan di San Diego dan mana-mana pesakit di seluruh dunia.
Kajian yang turut melibatkan ujian sampel darah dan tinjauan umum itu diadakan dengan kerjasama University of Rome La Sapienza.
“Projek ini bukan sahaja mampu membongkar rahsia panjang umur dan hidup sihat, malah bakal mewujudkan hubungan baik dengan para pengkaji di seluruh dunia dan meningkatkan mutu penjagaan kesihatan,” ujar profesor perubatan Dr Salvatore DiSomma.
Penduduk Acciaroli rata-rata mengamalkan tabiat pemakanan Mediterranean yang terdiri daripada ikan, minyak zaitun, dan herba rosemary.
#Acciaroli #Itali #panjang umur #rahsia panjang umur
;