Ramai orang muda tidak sedar mereka mengalami hiperkolestrolemia
Rahimah Abdullah
Julai 10, 2018 17:03 MYT
Julai 10, 2018 17:03 MYT
Kebanyakan orang muda di Malaysia tidak sedar bahawa mereka mengalami hiperkolestrolemia atau individu yang mempunyai paras kolesterol darah yang tinggi, ujar Pakar Runding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof.
Jelasnya, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 47.7 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mengalami masalah itu.
"Statistik itu menggambarkan bahawa ramai yang tidak tahu bahawa mereka juga ada kolesterol yang tinggi. Kalau dilihat dari segi interaksi sosial sesama kita, selalunya makanan kolesterol ini dibuat gurauan katanya makanan tinggi kolesterol maka mereka sedar tetapi mereka tidak sedar mengenai kolesterol dalam darah mereka,"
Tambahnya, sejauh mana tahap hiperkolestrolemia yang dihadapi seseorang itu hanya akan dapat diketahui melalui ujian darah.
"Pengumpulan kolesterol dalam arteri menyebabkan aterosklerosis yang boleh mengakibatkan serangan jantung atau strok," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Repatha, antibodi monoklon manusia penuh yang mula dijual di pasaran Malaysia.
Jelasnya, pemeriksaan darah kolesterol boleh dilakukan di mana-mana klinik dan hasil ujian boleh diperoleh dalam masa sehari ke dua hari.
"Mereka yang menghidap hiperkolestrolemia yang serius atau familial hiperkolestrolemia biasanya akan mengalami kelainan pada anggota badan, ada mendapan lemak atau benjolan di tangan, benjolan di sendi lutut, atau mendapat lemak di kelopak mata," katanya.
Dalam pada itu, Pakar Runding Kardiologi dari Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Choo Gim Hooi berkata, keadaan fizikal seseorang itu sama ada kurus atau gemuk tidak menentukan individu berkenaan tidak akan mengalami masalah hiperkolestrolemia.
"Orang yang ada kolesterol tinggi ini dia tidak akan tahu melainkan dia buat ujian darah dan ada yang anggap dia masih muda lagi, dan kurus serta sentiasa bersenam itu adalah tanggapan salah," ujarnya.
Pada masa sama katanya, hiperkolestrolemia juga ada kaitan dengan sejarah keluarga yang turut mengalami penyakit seumpama itu.
"Mana-mana individu yang mengalami hiperkolestrolemia untuk terus memeriksa latar belakang ahli keluarga yang lain yang membawa genetik kolesterol itu. Ia adalah jalan terbaik untuk mengetahui sama ada mereka ada hiperkolestrolemia atau tidak dan membuat rawatan lebih awal," katanya.
Tambahnya, amalan diet mampu mengurangkan kadar kolesterol, namun pada tahap yang minimum.
"Cuma 15 ke 25 peratus sahaja datangnya dari cari hidup atau diet. Kalau kolesterol ni tinggi sangat dia akan turun tapi sikit. Untuk rawatan, kami bukan sahaja beri ubat, tetapi juga perlu melakukan senaman, diet dan cuba mengurangkan berat badan," ujar beliau.
#2015
#Cuba
#diet
#keluarga
#kesihatan
#Khairuddin
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Media
#rakyat
#rakyat Malaysia
#serangan