Ramadan 2021: Masalah mulut berbau.. Apa puncanya?

Khairunnisa Kasnoon
April 21, 2021 18:34 MYT
Penyakit gusi tanpa disedari adalah penyumbang kepada masalah mulut berbau dan masalah gigi dan 90 peratus populasi sebenarnya ada penyakit gusi. - Gambar hiasan
KAJIAN menunjukkan bahawa seorang dalam setiap empat orang akan mengalami masalah mulut berbau.
Ia bermakna lebih kurang 25 peratus daripada populasi berdepan masalah tersebut.
Pakar Pergigian Periodontik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Wan Nur Alwani Wan Abdul Aziz memaklumkan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mulut seseorang itu berbau.
Pertama, penjagaan mulut yang salah menyebabkan masalah gusi atau gigi.
"Penyakit gusi tanpa disedari adalah penyumbang kepada masalah mulut berbau dan masalah gigi, dan 90 peratus populasi sebenarnya ada penyakit gusi.
"Macam mana kita nak diagnos, kita kena jumpa pakar pergigian. (Selain itu) simptom yang selalu seseorang dapat adalah apabila memberus gigi, (gusi) akan berdarah.
"Ia akan lebih teruk apabila gigi kita makin jarang gusi semakin turun, lalu gigi (kelihatan) makin panjang," jelasnya.
Tambah Dr. Wan Nur Alwani, punca mulut berbau adalah disebabkan gigi tidak diberus dengan sempurna.
"Kenapa ia berbau? Ia disebabkan plak atau tahi gigi yang merupakan tempat bakteria, yang sentiasa terbentuk walaupun lepas kita memberus gigi.
Ramai salah anggap, samakan plak dengan makanan yang tertinggal dalam mulut, sedangkan ia adalah perkara yang berbeza.
Tapi makanan itulah yang menjadi punca nutrien kepada bakteria untuk menghasilkan gas-gas yang kurang menyenangkan," ujarnya lagi.
Ramadan 2021 | Mulut berbau? Apa puncanya?
Tambahnya kekurangan air liur juga merupakan punca yang menyebabkan mulut berbau.
Air liur berfungsi untuk mencernakan makanan, selain ia mengandungi antibodi untuk membunuh bakteria.
Sifatnya yang basah menjadikannya sebagai agen pembersih semula jadi.
"Maka, apabila kita berpuasa, keadaan fisiologi atau semulajadi badan kita akan kekurangan air. Jika kurang minum maka badan kita automatik akan kurang air liur untuk elakkan badan kita hidrasi. Apabila ia berlaku, kita kekurangan semua sistem mekanisma pertahanan tadi.
"Bakteria akan senang berkumpul. Contohnya, pagi tadi kita sahur lepas tu tak berus gigi, ada makanan yang tertinggal.
"Bakteria ni senang berkumpul sebab ia tak dibasuh oleh air liur. Apabila ia 'duduk' di permukaan lidah dan gusi... dan kita jarang bercakap, jadi bakteria ni akan menghasilkan sulfur. Sulfur inilah yang mengeluarkan bau," jelasnya lagi.
Justeru katanya, bagi mengatasi masalah tersebut, setiap individu perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari selain mempraktikan ubat kumur untuk membunuh bakteria yang terdapat di dalam mulut.
#gigi #mulut #mulut berbau #USIM #Dr Wan Nur Alwani #Ramadan #puasa #air #air liur #ramadan2021
;