Rakyat Malaysia lebih gemar Google Maps?

Astro Awani
September 9, 2019 22:40 MYT
Dalam tinjauan oleh sebuah portal gajet, 65 peratus memilih Google Maps berbanding hanya 35 peratus yang memilih Waze.
SATU tinjauan di laman Facebook portal gajet, wiser.my mendedahkan rakyat Malaysia lebih gemar menggunakan aplikasi Google Maps berbanding Waze untuk membantu mereka mencari petunjuk arah.
Dalam tinjauan yang dimulakan semalam itu, 65 peratus memilih Google Maps berbanding hanya 35 peratus yang memilih Waze.
Setakat ini, tinjauan itu sudah menerima lebih 43,000 undian dan masa untuk mengundi masih berbaki lima hari.
Menerusi ruangan komen, netizen memaklumkan mereka lebih suka menggunakan Google Maps kerana dianggap lebih 'boleh diharap' dan tidak memberatkan sistem telefon.
Namun ramai juga yang menyifatkan Waze lebih baik kerana dilengkapi real time reporting tool yang membolehkan pengguna mengetahui situasi di jalan raya dengan lebih tepat, termasuk sekatan jalan raya dan kemalangan.
Beberapa hari lalu, Google dilaporkan akan menambah beberapa ciri tersebut kepada Google Maps untuk Android dan iPhone, selain sokongan Street View (Android) dan maklumat cuaca (iPhone), lapor portal antarabangsa bgr.com.
Turut akan ditambah ialah ciri mengesan penutupan lorong, objek yang menghalang laluan dan petunjuk kawasan pembinaan.
#aplikasi #Facebook #Google #Google Maps #Malaysia #telefon pintar #waze
;