Rakyat Malaysia amat pentingkan kos, teknologi ketika melancong - Expedia
Bernama
Mei 3, 2018 06:42 MYT
Mei 3, 2018 06:42 MYT
Kalangan rakyat Malaysia merupakan antara kelompok pengembara di Asia yang amat mengutamakan soal kos selain cenderung kepada teknologi, demikian menurut dapatan kaji selidik oleh Brand Expedia.
Hasil kaji selidik Global Flight and Hotel Etiquette Study 2018 oleh syarikat penerbangan global itu menunjukkan 97 peratus pengembara Malaysia menganggap harga sebagai keutamaan apabila membuat pilihan tempahan perjalanan udara dan sewaktu mengambil kira jumlah kos penerbangan terbabit.
"Malah, sikap perbelanjaan berhemat rakyat Malaysia itu turut ketara apabila mengutamakan soal harga apabila membuat tempahan hotel. Ini jelas terbukti apabila 74 peratus daripada mereka menyifatkan soal harga sebagai amat penting diikuti oleh khidmat Wi-Fi percuma (71 peratus) dan lokasi (63 peratus)," kata kaji selidik berkenaan.
Rakyat negara lain yang turut menitikberatkan soal harga adalah dari Brazil, Kanada, Amerika Syarikat dan Singapura.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Rantau Asia Brand Expedia, Lavinia Rajaram berkata kesemua faktor membabitkan penerbangan, etiket atau adab dan bajet menjadi keutamaan rakyat Malaysia.
Dalam kaji selidik Expedia Vacation Deprivation Study 2017, beliau berkata soal kemampuan menjadi faktor utama mengapa ramai rakyat Malaysia tidak dapat bercuti secukupnya.
Malah, jika mereka membuat pilihan untuk bercuti, kos keseluruhan penerbangan dan penginapan menjadi aspek yang amat dipertimbangkan.
Selain menumpukan pola tempahan dan penerbangan pengembara di peringkat global, kaji selidik itu juga mengetengahkan beberapa sikap yang turut memberi kesan kepada pihak lain.
Bagi aspek penginapan misalnya, keadaan bilik yang kotor, rasa kurang senang terhadap keadaan keseluruhan bilik serta jiran yang bising merupakan antara alasan untuk menukar bilik.
Bagi rakyat Malaysia, alasan untuk bertukar bilik adalah apabila suhu bilik terlalu sejuk atau panas - rungutan yang turut dikongsi oleh kalangan pengembara dari Singapura, India dan Brazil.
Dari segi keselesaan dalam penerbangan, rakyat Malaysia lebih memilih untuk menikmati tidur yang baik diikuti aspek hiburan serta mendengar muzik.
Bagi pilihan hotel pula, rakyat Malaysia memilih untuk menginap dalam hotel yang menyediakan kemudahan Wi-Fi serta kelengkapan penjagaan diri percuma selain pemberian cenderahati.
-- BERNAMA
#kembara
#kos percutian
#pelancongan
#penerbangan
#perancangan
#percutian
#perjalanan
#rakyat Malaysia
#tempahan