Rakyat di negara-negara amal penyediaan makanan tradisional kurang alami obesiti
Bernama
Oktober 1, 2019 07:00 MYT
Oktober 1, 2019 07:00 MYT
Negara-negara yang masih teguh mengekalkan penyediaan makanan tradisional seperti di Korea dan Jepun, kemungkinan rakyatnya mengalami obesiti adalah kurang, kata seorang pakar pemakanan.
Dr Goh Ee Von dari Crops For The Future (CFF) berkata walaupun ekonomi negara-negara tersebut telah berkembang pesat dan kadar obesiti mereka seharusnya sepadan dengan negara-negara Barat, tetapi mereka tidak obes seperti sepatutnya.
"Salah satu sebabnya ialah kerana mereka berpegang teguh kepada budaya makanan, banyak memakan sayur-sayuran dan mengamalkan kaedah penyediaan makanan secara tradisional.
"Korea adalah negara yang keadaan suhu adalah sangat sukar, jadi secara tradisinya mereka tidak dapat mengusahakan banyak tanaman, jadi mereka menggunakan teknik fermentasi dan kaedah tradisional untuk menyimpan makanan serta meningkatkan nilai pemakanan," katanya kepada Bernama di luar sesi panel Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bagi menangani kekurangan nutrien mikro di sini, pada Selasa.
Acara itu susulan laporan Menangani Malnutruisi di Malaysia dikeluarkan oleh penasihat penyelidik KRI Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, Felo Kanan Pelawat di KRI Prof Dr Wan Abdul Manan Wan Muda dan Tan Zhai Gen, rakan penyelidik di KRI baru-baru ini.
Goh, yang juga rakan penyelidik di CFF, berkata rakyat Malaysia pada umumnya menggemari makanan mereka tetapi perkadaran dan kaedahnya sahaja yang berbeza.
"Mereka masih menikmati gulai tetapi bukan ulam. Untuk makanan India, sebagai contoh, penyediaan idli dan thosai telah berubah. Kitamempunyai tepung segera bukannya adunan tradisional, " katanya.
Goh menambah bahawa rakyat Malaysia juga cenderung untuk kepada makanan Barat sebagai ganjaran untuk diri mereka sendiri atau sebagai penghargaan untuk ahli keluarga dan rakan-rakan.
"Tetapi untuk menangani masalah kesihatan dan obesiti di kalangan kita, kita perlu kembali kepada akar-umbi apabila semuanya mengenai kesederhanaan.
"Tidak ada makanan yang baik atau yang tidak baik, ia tentang pengambilaan makanan secara sihat dengan diet seimbang serta mengekalkan tradisi makanan, " katanya.
Sementara itu, laporan rersebut menyatakan bahawa kekurangan zat makanan masih menjadi cabaran besar dalam masyarakat Malaysia dan keperluan untuk menangani malnutrisi di Malaysia harus menjadi keutamaan untuk mewujudkan negara yang sihat dan lebih produktif.
Laporan itu mencadangkan Strategi Pemakanan Kebangsaan yang holistik diperlukan untuk menangani isu-isu ini dengan berkesan.
"Sistem makanan lestari perlu untuk mempromosikan diet yang sihat, sementara pendidikan pemakanan awam memerlukan penambahbaikan dan pengukuhan yang mendalam untuk mendidik kanak-kanak dan orang dewasa mengenai makan secara sihat.
"Pengiklanan yang mengelirukan mengenai kesihatan dan pemakanan, terutama untuk kanak-kanak, perlu disekat.
"Pemberian makanan universal kepada pelajar sekolah juga penting untuk memupuk amalan pemakanan yang baik di kalangan kanak-kanak, sambil meningkatkan sosialisasi dan kerjasama, selain menambahbaik hasil akademik dan pembangunan fizikal," kata laporan itu.
Laporan itu juga menambah bahawa anemia pada wanita usia reproduktif perlu diberikan perhatian dengan menggalakkan pengambilan mikro-nutrien yang mencukupi dalam kes-kes yang memerlukan perhatian.
Keselamatan makanan juga perlu diberi perhatian termasuk mengurangan penyalahgunaan antimikrobial (antibiotik) untuk haiwan, termasuk pembiakan ikan.
-- BERNAMA
#anemia
#Crops For The Future
#diet seimbang
#Dr Goh Ee Von
#iklan
#Jepun
#kekurangan zat
#Korea
#lebih produktif
#makanan Barat
#makanan sihat
#makanan tradisional
#malnutrisi
#obesiti
#sederhana
#sihat
#Strategi Pemakanan Kebangsaan