Rakyat Amerika makin hilang selera kerja bawah 'boss' - Laporan

Agensi
Februari 23, 2018 12:39 MYT
Dapatan kajian daripada syarikat itu juga menunjukkan sebanyak 97 peratus golongan bekerja sendiri tidak mempunyai hasrat untuk kembali bekerja dalam kerjaya tradisional. - Gambar hiasan
RAMAI dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat kini tidak ingin lagi bekerja di bawah kongkongan majikan, sebaliknya bekerja sendiri menjadi pilihan utama dalam memilih kerjaya, menurut laporan terbaharu daripada syarikat penyelidikan Freshbooks.
Dapatan laporan itu menunjukkan jumlah rakyat Amerika tidak ingin bekerja di bawah majikan akan bertambah pada masa akan datang, iaitu jumlah mereka yang bekerja sendiri akan meningkat tiga kali ganda menjelang 2020.
Menurut kajian selama dua tahun daripada syarikat perakaunan berasaskan ‘cloud system’ itu, jumlah rakyat Amerika yang bekerja sendiri akan mencecah sebanyak 42 juta orang, dengan menunjukkan peningkatan jumlah golongan belia bekerja sendiri.
Dapatan kajian daripada syarikat itu juga menunjukkan sebanyak 97 peratus golongan bekerja sendiri tidak mempunyai hasrat untuk kembali bekerja dalam kerjaya tradisional.
Daripada maklum balas 2,700 pekerja sepenuh masa, sebanyak 43 peratus responden juga merasakan bahawa bekerja sendiri memberikan mereka satu kelebihan untuk bebas mengawal kerjaya mereka. Satu pertiga daripadanya pula mengatakan bahawa alasan keluarga menjadi faktor untuk memilih untuk bekerja sendiri.
Kajian ini membuktikan wujudnya perubahan pandangan mengenai kerjaya terutamanya dalam kalangan orang muda yang mungkin tidak lagi melihat kerjaya konvensional sebagai pilihan utama, meskipun ia menawarkan gaji yang lebih lumayan dan pangkat yang besar dalam hierarki syarikat, menurut Quartz.
—Sumber Linkedin
#Amerika Syarikat #bekerja sendiri #Belia #keluarga #kerjaya #pekerjaan
;