Raja Ahmad tetap bersaing di finale
Astro Awani
Oktober 10, 2013 20:49 MYT
Oktober 10, 2013 20:49 MYT
Walaupun sudah bergelar juara keseluruhan kategori BMX Liga Mini Ramp Adrenalin DC, Raja Ahmad Ashahri tetap akan memberikan aksi yang terbaik pada finale di Bukit Jalil 9-10 November ini.
Raja sah bergelar juara keseluruhan selepas merangkul kejuaraan hat-trick, apabila memenangi pusingan ketiga di Angsana Johor Bahru 6 Oktober lalu.
Sementara pencabar terdekatnya, Shahrulnizam Ahmad kekal di tempat kedua keseluruhan selepas sekali lagi menduduki tempat ketiga.
Shahrulnizam kini mengumpul 15 mata keseluruhan masih boleh dipintas pencabarnya Zafrin Shah Sabikin yang mendapat tempat kedua di Johor Bahru.
Sementara perebutan kejuaraan keseluruhan bagi kategori skateboarding masih terbuka dengan saingan lima penjuru melibatkan adik beradik Rahman Malaysia, Izzul dan Arina selain Rahman brothers Singapura, Farris dan Feroze.
Azreen Azman yang mendahului sehingga pusingan kedua kini jatuh ke tangga kedua keseluruhan selepas tidak menyertai pusingan ketiga.
Skater dari Pulau Pinang itu dijangka turun ke Bukit Jalil untuk cuba menjadi juara sebenar mini ramp kebangsaan.
Gelaran juara kategori skateboarding di Bukit Jalil kemungkinan besar penentu siapa yang bakal menjulang gelaran juara keseluruhan.