Rai ulang tahun ke-125, alumni Convent Bukit Nanas anjur majlis makan malam 2 November

Faida Rahim
September 30, 2024 05:45 MYT
Pihak alumni turut menganjurkan beberapa program menarik dengan visi sederhana namun berpengaruh termasuk menyediakan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang kewangan. - Alumni CBN
KUALA LUMPUR: Sejak pandemik COVID-19 bermula, Persatuan Alumni Convent Bukit Nanas (CBN) memulakan inisiatif memberi sokongan kepada pelajar terkesan dengan melancarkan program bantuan untuk pelajar B40.
Ini bagi memastikan kesulitan ekonomi tidak menghalang proses pendidikan mereka.
Dalam pada itu, bagi meraikan ulang tahun CBN ke- 125 tahun, pihak alumni turut menganjurkan beberapa program menarik dengan visi sederhana namun berpengaruh termasuk menyediakan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang kewangan.
Pihak alumni dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka percaya setiap pelajar berhak mendapatkan peluang menikmati warisan dan persekitaran pembelajaran yang luar biasa di CBN.
"Ini bukan sekadar program amal, ia adalah tentang melabur dalam masa depan komuniti kami. Dengan menyokong pelajar B40, kami membina generasi pemimpin, pemikir, dan pengubah yang akan datang.
"Kami menghormati tradisi CBN yang sekian lama iaitu memperkasakan wanita muda mencapai potensi penuh mereka," kata kenyataan.
Sementara itu, pihak alumni berharap dapat mengumpul kesemua bekas pelajar di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-125 pada 2 November 2024 di MITEC dalam usaha menyokong CBN kekal menjadi tempat yang selesa dan selamat untuk belajar.
"Usaha ini untuk pelajar di CBN terus menikmati pengalaman bersekolah dan mendapat sokongan daripada golongan wanita hebat yang mendahului mereka.
"Saya menyeru kepada semua selaku alumni sekolah perempuan terkemuka di Lembah Klang, mari kita menunjukkan nilai pendidikan dan menghidupkan moto sekolah dalam kehidupan kita untuk menjadi sederhana dalam akhlak dan teguh dalam tugas," katanya.
Cara pembelian tiket, alumni boleh mendapatkan tiket rasmi di cbnalumni.org/cbn125thanniversarydinner
Untuk tempahan kumpulan atau pertanyaan, boleh hubungi di WhatsApp Alumni CBN di 017-6465982.
#COVID-19 #alumni CBN #Convent Bukit Nanas #majlis makan malam
;