Rai 50 tahun kewujudan & 34 tahun di Malaysia, RMHC akan perlebar sayap ke Malaysia Timur

Israr Khalid
November 13, 2024 19:45 MYT
Misi RMHC Malaysia disampaikan melalui empat inisiatif terasnya, tertumpu kepada kesihatan, pendidikan dan kebajikan, memanfaatkan lebih suku juta kanak-kanak melalui pembiayaan yang telah melebihi RM60 juta. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tahun ini, Ronald McDonald House Charities (RMHC) menyambut jubli emas kewujudannya membawa sinar harapan kepada anak-anak di seluruh dunia, serta 34 tahun di Malaysia.
Keraian tidak sekadar mengenang jejak cemerlang masa lalu, melihat ke hadapan mereka komited untuk terus dedikasi menyokong kanak-kanak kurang bernasib baik dan keluarga mereka menerusi program-program yang memberi tumpuan kepada kesihatan, pendidikan dan kebajikan.
Sejak Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia yang juga dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia ditubuhkan pada 15 Februari 1990, ia telah membantu mengubah nasib lebih 250,000 kanak-kanak di seluruh negara.
“Pencapaian ini tidak hanya meraikan kejayaan tetapi juga peringatan tentang misi kami: untuk menyediakan khidmat yang memecah penghalang, mengerat hubungan keluarga, dan menggalakkan penyembuhan ketika kanak-kanak memerlukan penjagaan kesihatan.
“Kerja kami masih panjang, dan kami berharap untuk meneruskan perjalanan ini dengan sokongan masyarakat dan rakan-rakan kami,” kata Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar.
Majlis yang diadakan di pusat beli-belah Sunway Velocity, Kuala Lumpur pada Sabtu turut dihadiri Pengarah Bersekutu RMHC Global, Operasi Lapangan Untuk Asia Rachel Goh, yang menegaskan komitmen mereka untuk mengembangkan sokongan untuk 50 tahun seterusnya.
“Tatkala kita melihat ke hadapan, RMHC tekad untuk menggandakan impak kami di peringkat global untuk mencapai lebih ramai keluarga yang memerlukan.
“Kami komited untuk memastikan, walau dalam waktu yang mencabar, setiap keluarga ada sistem sokongan yang boleh mereka percaya dan harapkan, di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.
Misi RMHC Malaysia dijalankan melalui empat inisiatif teras - Rumah Ronald McDonald (kemudahan penginapan dalam hospital untuk keluarga pesakit pediatrik), Bilik Sensori Ronald McDonald (membantu perkembangan kanak-kanak istimewa melalui rangsangan deria), Program Anugerah Senyuman (tajaan pembedahan kanak-kanak sumbing), serta Program Kembali Ke Sekolah (pek keperluan kelengkapan sekolah).
Sejak lebih tiga dekad lalu, empat Rumah Ronald McDonald telah diwujudkan di seluruh Malaysia, yang menyediakan keselesaan kepada lebih daripada 1,000 keluarga setiap tahun.
Selain itu, inisiatif Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald telah dibangunkan di lebih 35 lokasi di seluruh negara, menyediakan sokongan untuk kanak-kanak dengan keperluan khas dan memberi manfaat kepada lebih daripada 4,500 kanak-kanak setiap tahun.
Melalui Program Anugerah Senyuman pula, lebih daripada 1,500 kanak-kanak telah dibantu untuk menerima pembedahan pembetulan yang mengubah hidup mereka, sementara Program Pek Kembali ke Sekolah telah memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar, membekalkan mereka dengan keperluan asas dan meningkatkan keyakinan mereka.
Menyedari keperluan yang semakin meningkat, RMHC Malaysia kini sedang memperluas keberadaannya di Malaysia Timur, dengan perasmian Rumah Ronald McDonald pertama di Sabah baru-baru ini dan kerja-kerja sedang dijalankan untuk membuka Rumah Ronald McDonald pertama di Sarawak menjelang 2026, yang akan menjadi Rumah Rumah Ronald McDonald kelima di seluruh Malaysia.
Selain itu, RMHC Malaysia juga membuka Bilik Deria Ronald McDonald yang ketiga di Sarawak dengan kerjasama Unit Pediatrik Hospital Umum Sarawak di Kuching, yang memberikan akses kepada lebih ramai keluarga dengan anak-anak istimewa mendapatkan sokongan terapeutik yang khusus.
Pada majlis keraian tersebut, RMHC Malaysia turut mengiktiraf para penaja korporatnya yang secara kolektif menyumbang hampir RM500,000 nilai derma sempena sambutan 50 tahun RMHC.
RMHC: 34 tahun di Malaysia, perlebar sayap di Sabah & Sarawak
#Ronald McDonald House Charity #RMHC #RMHC Malaysia
;