Rai 100 juta 'subscriber', YouTuber MrBeast hadiahkan pulau persendirian

Astro Awani
Ogos 6, 2022 11:15 MYT
Pencipta kandungan popular itu menghadiahkan pulau persendirian kepada salah seorang subscriber bertuahnya. - Foto YouTube/MrBeast
YOUTUBER terkenal, MrBeast melakukan 'kerja gila' bagi meraikan kejayaannya memperoleh 100 juta subscriber di salurannya.
Pencipta kandungan popular itu menghadiahkan pulau persendirian kepada salah seorang subscriber bertuahnya.
MrBeast atau nama sebenarnya Jimmy Donaldson mencatatkan angka 100 juta pelanggan minggu lalu, meletakkan dirinya sebagai YouTuber kedua di belakang PewDiePie.
Dia memuat naik sebuah video bertajuk I Give My 100,000,000th Subscriber A Private Island, yang menyaksikan Donaldson menerbangkan 100 orang subscriber ke sebuah lokasi untuk bersaing mendapatkan kunci ke pulau persendirian itu.
Kesemua mereka mempunyai empat cabaran yang perlu dilalui sebelum diisytiharkan pemenang.
Cabaran pertama memerlukan para peserta berlumba untuk menyalakan api menggunakan peralatan minimum, dan hanya 50 orang yang berjaya mara ke pusingan seterusnya.
Cabaran kedua menyaksikan MrBeast mencipta semula permainan ikonik Squid Games 'red light, green light’ dalam sebuah bot di tengah lautan.
Perlawanan seterusnya menyaksikan 10 peserta berdiri di atas 10 papan, dengan lima papan jatuh secara rawak.
Dalam cabaran terakhir, Donaldson menyembunyikan plak khas pencapaian 100 juta subscriber yang diperoleh dari YouTube di satu lokasi di pulau itu, tertimbus di bawah pasir, dan peserta pertama yang berjaya mencarinya dinobatkan sebagai pemenang
"Plak ini adalah hidup saya selama sedekad ini.
"Terima kasih kepada semua yang menjadi subscriber saya. Saluran ini sangat bermakna kepada saya dan saya amat menghargai sesiapa sahaja yang pernah menonton video di saluran saya," kata Donaldson.
#MrBeast #YouTube #pulau #Jimmy Donaldson
;