Quantum of the Seas bakal singgah di Pulau Pinang, KL

Faiq Chong
April 11, 2018 23:46 MYT
Kapal ini mempunyai 18 dek seberat hampir 170,000 tan, mempunyai 2,090 bilik dan mampu menampung sehingga 4,905 penumpang. - Wikipedia
KAPAL persiaran keenam terbesar di dunia, Quantum of the Seas akan singgah ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (Pelabuhan Klang) dari Singapura pada November tahun 2019 hingga April tahun 2020.
Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan menjadi salah satu destinasi persinggahan kapal gergasi tersebut dan akan dikunjungi oleh penumpang yang terdiri daripada seluruh pelosok negara.
Quantum of the Seas akan membawa sekitar 150,000 penumpang dan melakukan 34 pelayaran melibatkan beberapa destinasi sekitar rantau Asia Tenggara, termasuk juga di Phuket, Bangkok, dan Bandar Raya Ho Chi Minh.
Kapal gergasi milik Royal Carribean International itu akan berlabuh di Singapura selama enam bulan, iaitu merupakan pelabuhan paling lama untuk syarikat perkapalan berkenaan bagi kelas pelabuhan quantum.
Kali terakhir kapal Quantum of the Seas berlabuh di Singapura adalah pada tahun 2015 iaitu merupakan lawatan pertamanya ke Asia.
Quantum of the Seas: Kapal persiaran terbesar berlayar di Asia
Kapal ini mempunyai 18 dek seberat hampir 170,000 tan, mempunyai 2,090 bilik dan mampu menampung sehingga 4,905 penumpang sekali berlayar, merupakan kapal persiaran keenam terbesar di dunia.
Quantum of the Seas merupakan kapal milik syarikat perkapalan pelayaran dari Norway, Royal Caribbean International dan berpangkalan di Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Quantum of the Seas dibina di limbungan kapal Meyer Werft di Papenburg, Jerman dan memulakan pelayaran pada 2 November 2014 di Bayonne, New Jersey, AS.
Kapal itu didaftarkan di Nassau, Bahamas.
Panjang kapal tersebut adalah 1,139 kaki atau 347.08 meter, selebar 136 kaki, dan mempunyai kelajuan pelayaran sekitar 22 knot.
Kapal kelas quantum itu beroperasi di sekitar Asia dan lokasi pelabuhannya bertempat di Shanghai, China.
Quantum of the Seas mempunyai pelbagai kemudahan kelas premium yang dapat dinikmati oleh penumpang, antaranya The Royal Theathre, The Music Hall, menara panorama NorthStar yang digerakkan menggunakan kren dan pelbagai kemudahan santai yang lain seperti kolam renang, pusat beli-belah, taman tema kanak-kanak dan gimnasium.
#kapal layar #Kuala Lumpur #Malaysia #pulau pinang #Quantum of the Seas #Royal Carribbean International #Singapura