Pupuk jiwa anak warisi tarian barongan, legasi komuniti Jawa Johor
Bernama
Disember 29, 2021 09:36 MYT
Disember 29, 2021 09:36 MYT
MUAR: Berasal dari Tanah Jawa, tarian barongan mungkin agak asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini, namun di Johor, tarian yang pernah pada satu ketika dikaitkan dengan unsur mistik itu lazim dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, malah di istana.
Peredaran masa bagaimanapun menyaksikan seni tari tersebut berdepan kemungkinan luput ditelan zaman. Justeru, demi menjamin kelangsungan budaya tinggalan nenek moyangnya, Mohd Nazaruddin Md Sintar, 48, memastikan anak-anaknya menjadi generasi kelima keluarga mewarisi kemahiran seni tari itu.
"Ketika saya meneruskan legasi arwah datuk pada 2004, terdapat berpuluh-puluh kumpulan yang menarikan tarian ini, namun kini, setahu saya hanya ada tujuh yang masih aktif di sekitar negeri ini," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Parit Bugis, di sini baru-baru ini.
Bernama antara beberapa pengamal media yang menyertai Kembara Media Johor anjuran Tourism Malaysia dan berpeluang menyaksikan persembahan tarian itu oleh Kumpulan Barongan Warisan Bistari yang diketuai Mohd Nazaruddin di Keraton Embah Anang (rumah tradisional komuniti Jawa) di kampung berkenaan.
Merupakan dramatari, tarian barongan yang menceritakan tentang dua lelaki "bertarung" merebut seorang puteri itu bermula dengan tarian enam gadis berkuda kepang dan berkostum tradisional masyarakat Jawa dahulu kala - dipanggil penari jatilan-, diiringi alunan muzik gamelan, angklung dan gong.
Menyusuli mereka, muncul seorang jejaka bertopeng singa memikat gadis-gadis tersebut, dan bagaikan semut bertemu gula, mereka mendekati si jejaka sebelum seorang lagi pemuda yang berkepala singa berbulu merak tampil dan kemuncak persembahan menyaksikan "pertarungan"di antara kedua mereka.
KISAH DONGENG
Bercerita tentang asal-usul tarian itu, Mohd Nazaruddin berkata dramatari berkenaan berkisar tentang Perabu Koloo Siwan Donno (Perabu) dan Warok Singo Ludroo (Warok) berebutkan Puteri Songgo Langit dari Kerajaan Kendiri.
"Warok yang berasal dari Negeri Bantara datang meminang Puteri namun ditolak kerana Puteri sudah bertunang dengan Perabu yang merupakan seorang raja.
"Meskipun sudah ditolak oleh Puteri, Warok tetap memaksa Puteri mengahwininya. Jadi, untuk menyelesaikan perebutan itu, Perabu dan Warok bertarung dalam satu persembahan dengan yang menang akan mengahwini Puteri dan yang kalah disumpah menjadi harimau,"ceritanya, menambah pada zaman dahulu tarian tersebut hanya dipersembahkan di hadapan sultan-sultan Jawa.
Kumpulan barongan juga disertai jumlah ahli yang besar dengan kumpulannya sendiri mempunyai 22 ahli merangkumi kugiran dan penari.
"Kumpulan kami terdiri daripada ketua, badal, penari jatilan dan pemain kugiran berumur tujuh hingga 65 tahun," jelasnya, menambah mereka membuat sendiri kuda kepang, namun kostum barongan menyerupai kepala singa diimport dari Ponorogo, Jawa, pada harga kira-kira RM3,000.
"Bulu merak yang menghiasi kostum barongan itu pula kita peroleh daripada pembekal tempatan," tambahnya yang merupakan generasi keempat dalam keluarganya yang menggiatkan tarian itu sejak mereka tiba di sini dari Ponorogo pada 1930.
SAMA TAPI BERBEZA
Mohd Nazaruddin berkata ada perbezaan di antara tarian barongan di Jawa dan di negara ini, khususnya dari segi gerak-geri, kostum dan peralatan muzik.
"Oleh kerana peredaran zaman dan cita rasa budaya orang Malaysia, bentuk tarian barongan sudah diubah suai sedikit demi sedikit bagi menampakkan kelainan, namun kebanyakan elemen masih lagi dikekalkan seperti sedia kala.
"Contohnya, tarian barongan di Malaysia tidak menggunakan alat muzik trompet, tetapi di Jawa masih ada," kata ayah kepada lima cahaya mata berusia tujuh hingga 22 tahun itu.
Menurut Mohd Nazruddin, persembahan itu sebenarnya boleh mengambil masa yang lama dengan versi lazim sekitar dua jam, namun boleh berpanjangan hingga sehari suntuk, khususnya di majlis perkahwinan.
Kebiasaannya, tempoh persembahan bergantung pada permintaan dan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu penari jatilan, penari Harimau Barong dan satu penari Bujang Ganong.
"Jika dalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan dan sambutan rasmi kerajaan negeri, kami tidak memainkan watak puteri itu kerana jika mahu memasukkan kesemua watak dalam cerita tersebut, akan melibatkan ramai penari dan pelakon, memerlukan pentas yang besar serta masanya lebih panjang.
"Jadi, kami ubah suai menjadi persembahan tarian rakyat untuk diperkenalkan kepada pengunjung akan seni warisan kami sebagai masyarakat Jawa di Johor," katanya, menambah penari dan pemain tarian barongan boleh mencecah hingga 25 orang.
DIRASUK
Jelasnya, berat kostum singa yang menjadi unsur utama tarian barongan juga dikurangkan kepada 15 hingga 30 kilogram sahaja berbanding di Jawa yang beratnya boleh mencapai hingga 60 kg.
Mengakui penari harus menjalani latihan yang agak sukar bagi memastikan mereka mampu menari dalam keadaan berkostum seberat itu, Mohd Nazaruddin bagaimanapun menegaskan tidak ada unsur mistik yang diamalkan oleh kumpulannya.
"Ini tarian bukan permainan. Jika dalam permainan memang ada peserta yang boleh 'kesurupan' atau disampuk kerana mereka sebenarnya turut dilatih dengan amalan dan seni mempertahankan diri seperti berkemampuan makan kaca, mengopek kelapa dengan gigi dan bermain api," jelasnya.
Malah katanya persembahan seperti itu juga sudah diharamkan oleh kerajaan Johor kerana dilihat bercanggah dengan ajaran Islam.
"(Ini) Berbeza dengan seni tari barongan yang hanya hiburan semata-mata. Lagu-lagu seperti Ilir-Ilir, Caping Gunung, Perahu Layar dan Pepiling antara ritma tradisional Jawa yang sering melatari persembahan barongan dan penari jatilan ketika beraksi," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, beliau masih berwaspada terutama ketika tarian kuda kepang yang mana menurutnya boleh menyebabkan penari bagaikan berada di luar sedar.
"Penari selalunya memberi fokus sepenuhnya sehingga mereka berada dalam keadaan luar sedar dan hanya cemeti sahaja yang mampu menjadi senjata untuk mengawal penari yang bertindak luar batasan," katanya, menjelaskan beliau sebagai ketua kumpulan akan melibas-libaskan cemeti ketika itu.
LEGASI TURUN-TEMURUN
Mohd Nazaruddin berkata kumpulannya mengadakan persembahan di merata tempat termasuk di luar Johor selain pernah diundang menarikan tarian barongan ketika Hari Keputeraan Sultan Johor dan juga pelancaran promosi Cuti-Cuti Malaysia di Stadium Merdeka.
Katanya Kumpulan Barongan Warisan Bistari hanya satu-satunya kumpulan tarian barongan di daerah ini dan kini sedang memberi perhatian melatih pelapis bagi meneruskan legasi.
"Kami telah melatih pelapis sejak mereka di bangku sekolah lagi dan saya sendiri turut melatih anak-anak saya untuk mewarisi tarian ini," katanya, menambah latihan diadakan secara mingguan bagi memastikan persembahan mereka kekal mantap.
Menurutnya, untuk mempelajari seni tarian barongan itu memerlukan disiplin yang tinggi, sentiasa patuh arahan ketua selain tidak boleh "bercakap besar".
"Saya berharap, apabila saya sudah tiada, seni ini akan diteruskan oleh cucu-cicit saya," katanya.
-- BERNAMA