Pulut kucai gula nipah berpotensi tarik pelancong sempena TMP
Bernama
Disember 26, 2023 10:30 MYT
Disember 26, 2023 10:30 MYT
KANGAR: Namanya sahaja berbeza tetapi juadahnya sama dan dihidangkan setiap kali musim perayaan mahupun kenduri kahwin, sebenarnya kuih tradisional ini turut mempunyai potensi tinggi menarik kedatangan pelancong terutama sempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.
Itulah pulut kacau atau pulut kucai yang menjadi pemanis mulut dalam kalangan masyarakat di bahagian utara Semenanjung manakala di selatan juadah tradisional ini lebih dikenali sebagai wajik.
Menariknya, seorang pengusaha kuih tradisional itu, Roshamiza Meli, 39, dari Kampung Behor Gonchar di sini tampil kelainan menggunakan gula nipah bagi menyuntik keistimewaan sekali gus berpotensi untuk dijadikan sebagai daya tarikan industri pelancongan.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Chik berkata pulut kucai serta dodol buatannya itu berbeza dari segi teksturnya yang lembut dan rasanya kerana beliau menggunakan gula nipah bagi menggantikan gula putih sebagai bahan pemanis serta menaikkan aroma dalam resepi makanan itu.
"Orang Perlis panggil juadah wajik ini sebagai pulut kucai, saya nak kekalkan juadah ini sebagai pulut kucai supaya orang ramai tahu yang juadah ini dibuat oleh anak jati Perlis sendiri.
"Saya buat satu olahan untuk dua resepi ini dengan menggunakan gula nipah supaya dapat kurangkan penggunaan gula putih dan rasa juadah ini sendiri tidak terlalu manis dan digemari oleh setiap lapisan masyarakat," katanya kepada Bernama.
Roshamiza berkata beliau akan cuba sedaya upaya mendapatkan bekalan gula nipah untuk membuat juadah itu meskipun berdepan cabaran bekalan yang agak terhad memandangkan tidak ramai orang mampu menghasilkan gula itu pada masa ini berikutan cara pemprosesannya memerlukan masa yang lama.
"Untuk hasilkan pulut kucai, pulut perlu direndam terlebih dulu dalam tempoh antara empat ke lima jam, seterusnya dikukus dengan daun pisang dalam tempoh dua jam. Kemudian campurkan gula merah, gula melaka dan gula nipah untuk aromanya, setelah itu kacau dalam tempoh 40 minit dan siap untuk dipek," katanya menambah setiap 350 gram pulut kucai berharga RM15.
Katanya bukan hanya penduduk tempatan yang menyukai juadah itu, malah turut mendapat sambutan dari negara luar seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang disertainya di Serdang, Selangor tahun lepas.
"Dari bermula 2018 saya membuat dan menjual pulut kucai dan dodol ini sehingga sekarang, MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) yang banyak bimbing selain bantu saya masuk MAHA. Semasa 2018 itu saya hanya membuat juadah ini secara kecil-kecilan.
"Alhamdulillah sekarang saya dalam proses memohon logo MeSTI dan Halal untuk saya dapat eksport juadah buatan saya ini ke negara luar seperti Thailand," katanya yang turut memaklumkan mempunyai ejen jualan pulut kucai dan dodolnya di Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur.
Roshamiza berkata selain MADA, beliau juga dibantu beberapa agensi lain dalam usaha memajukan perniagaanya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. - BERNAMA