Pulau Pinang tempat kedua terbaik di Asia Tenggara untuk pengembara solo - Lonely Planet

Bernama
Julai 25, 2024 10:50 MYT
George Town dipenuhi khazanah rumah-rumah kedai dan rumah-rumah klan sebelum perang yang bercampur aduk dengan kafe dan pemandangan seni jalanan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Portal pelancongan terkenal dunia, Lonely Planet menamakan Pulau Pinang sebagai dua tempat terbaik di Asia Tenggara untuk pengembara solo dengan menyatakan bahawa pulau itu adalah terbaik dari segi makanan jalanan yang beraneka dan budaya tempatan yang kreatif.
Dalam laman webnya, Lonely Planet berkata George Town yang tersenarai sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipenuhi khazanah rumah-rumah kedai dan rumah-rumah klan sebelum perang yang bercampur aduk dengan kafe dan pemandangan seni jalanan.
Ia menambah bahawa lokasi itu penuh dengan peniaga jalanan di mana pengembara solo boleh menikmati hidangan bajet serendah RM10 di gerai-gerai penjaja popular di Lorong Baru, Lebuh Kimberly dan Lebuh Chulia.
"Selain daripada campuran pengaruh Melayu, Cina dan India, budaya Peranakan juga terserlah di bandar ini dengan sebuah muzium dan hotel seperti Cheong Fatt Sze dan Edison George Town yang mempamerkan reka bentuknya yang rumit.
"Bagi pelawat solo yang menyukai penemuan di jalanan secara kebetulan, bandar ini memberi ganjaran dengan kejutan yang menarik (dan lazat)," menurut laman web itu.
Singapura mendahului senarai dengan diikuti Pulau Pinang; Danang, Vietnam; Siem Reap, Kemboja; Bangkok, Thailand; Hanoi, Vietnam dan Bali, Indonesia.
Berhubung perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai mengucapkan tahniah kepada Pulau Pinang kerana berjaya menduduki tempat dua teratas dalam senarai berkenaan.
-- BERNAMA
#pulau pinang #pelancongan #pengembara solo #Lonely Planet