Pulau Papan dan Rusukan Besar berpotensi jadi pusat peranginan terkemuka

Bernama
November 22, 2021 08:11 MYT
Pemandangan di kawasan perkelahan dan tumpuan pelancong di pantai Pulau Rusukan Besar, Taman Laut Labuan ketika tinjauan 4 Ogos, 2021. --fotoBERNAMA
LABUAN: Pulau Papan dan Pulau Rusukan Besar di sini berpotensi dimajukan sebagai destinasi peranginan terkemuka.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kedua-dua pulau tersebut yang memiliki daya tarikan tersendiri perlu dinaik taraf dengan fasiliti yang boleh menarik minat pelancong.
"Dalam lawatan kerja ke kedua-dua pulau hari ini, saya melihat potensi yang ada itu boleh diketengahkan untuk menarik pelancong.
"Namun, kedua-dua pulau harus dinaik taraf dan disediakan fasiliti untuk membolehkan pelancong datang termasuk bermalam," katanya kepada pemberita di Pulau Rusukan Besar pada Ahad.
Beliau berkata potensi pelancongan Pulau Papan yang berkeluasan lapan hektar dan Pulau Rusukan Besar seluas dua hektar akan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diberi perhatian sewajarnya.
Jalaluddin berkata Pulau Rusukan Besar yang sedang diusahakan oleh operator pelancongan swasta perlu dibantu Perbadanan Labuan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya dapat menembusi pasaran pelancongan domestik dan antarabangsa.
"Begitu juga dengan Pulau Papan yang sudah tersedia fasiliti penginapan (chalet) yang masih boleh diperbaiki dan dinaik taraf.
"Kita akan memikirkan bagaimana Pulau Papan ini dapat diusahakan oleh operator swasta dengan kerjasama MOTAC dan Perbadanan Labuan," katanya.
-- BERNAMA
#Pulau Papan #Pulau Rusukan Besar #destinasi peranginan #jalaluddin alias
;