Pulang ke kampung pada minggu kedua Aidilfitri

Bernama
Julai 9, 2016 20:16 MYT
Seorang pegawai khidmat di TBS, jumlah jualan tiket bas pada hari ini mencecah hampir 12,000 tiket setakat tengah hari tadi. - Gambar fail
Gelombang kedua orang ramai pulang ke kampung pada minggu kedua Aidilfitri dilihat sama hebat seperti suasana sebelum menjelang sambutan minggu lepas.
Tinjauan Bernama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan KL Sentral hari ini mendapati masih ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman mereka.
Bagi Hamidah Bagun, 49, dari Sandakan, minggu kedua baru beliau sempat beraya bersama keluarga kerana kesemua anak-anaknya menetap di ibu kota.
"Anak-anak saya kesemuanya bekerja dan belajar di sini, maka mak cik dan suami turun di sini dulu kemudian baru ajak mereka untuk pulang ke Sandakan.
Tambahnya, ini pengalaman pertama mereka sekeluarga beraya di Kuala Lumpur.
"Okey saja beraya di Kuala Lumpur dan kebetulan anak ada kenalan rapat di sini. Mak cik rasa juga kemeriahan raya di sini," katanya.
Bagi Ramlah Osman, 68, dari Ipoh, beliau turut merayakan Aidilfitri di rumah anak perempuannya di Bangi, Selangor sebelum pulang ke Ipoh.
"Selalu anak-anak yang turun beraya di kampung. Jadi tak salah, kali ini mak cik turun ke sini untuk beraya dengan mereka pula.
"Minggu ini baru anak mak cik yang lain akan ikut bersama naik tren elektrik (ETS) untuk pulang ke Ipoh," katanya.
Seorang pelajar jurusan perhubungan awam Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar, T.Dhanushyaa, 22, berkata beliau mahu pulang awal ke Perak biar pun cutinya berbaki sehari lagi bagi mengelak kesesakan di lebuh raya.
Seorang pegawai khidmat di TBS, jumlah jualan tiket bas pada hari ini mencecah hampir 12,000 tiket setakat tengah hari tadi.
#Aidilfitri #balik kampung #gelombang kedua
;