'Puasa Gajet': Jaga lidah, jari dan jangan dedah aib di media sosial

Faida Rahim
April 6, 2023 09:00 MYT
Kawal jari-jari kita daripada suka menyebarkan fitnah dan berita palsu. Imam Al-Ghazali menjelaskan, ada 20 jenis dosa yang muncul disebabkan lidah dan boleh dikias dengan jari dalam dunia moden ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penggunaan kecanggihan teknologi dalam menyampaikan maklumat dengan pantas menerusi media sosial tanpa penilaian iman boleh membawa kita ke lembah dosa tanpa sedar.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Norhisham Muhamad berkata, selain daripada berpuasa menahan lapar dan dahaga, masyarakat juga perlu memahami erti ‘puasa gajet’.
Tegas beliau, umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa perlu menahan diri daripada segala bentuk perbuatan yang boleh merosakkan kesucian hati dalam melaksanakan rukun Islam ketiga itu.
Bahkan, kata Norhisham juga, perbuatan dilarang dalam agama seperti menyebarkan aib sendiri dan orang lain juga harus sentiasa menjadi peringatan dalam diri setiap individu.
Dalam masa sama, masyarakat, jelas beliau, harus benar-benar memahami definisi 'puasa gajet' dalam persekitaran Ramadan ketika ini.
"Ini merupakan satu pengertian yang diberikan dalam era yang serba canggih dengan semua maklumat di hujung jari sehingga kita lupa adab dan tatasusila yang telah ditetapkan oleh agama.
"Dalam menggunakan aplikasi media sosial melalui peralatan seperti smart phone, tab dan sebagainya, adakala kita terlupa untuk menjaga adab semasa berpuasa kerana menganggap ia perkara biasa yang dilakukan orang ramai tanpa disedari boleh mendatangkan dosa dan mengurangkan pahala berpuasa di bulan Ramadan,” katanya.
Tambah Norhisham, sebagai umat Islam terutama di bulan Ramadan, wajib untuk menutup aib diri sendiri dan bukan menyebarkan menjadi tatapan umum di media sosial.
Jelasnya, ada segelintir masyarakat hari ini lebih memilih membuka aib yang berlaku dalam rumah tangga yang tidak sepatutnya didedahkan untuk diperlihat.
“Pendedahan aib diri sendiri ini peringkat awalnya untuk mendapatkan “like” yang tinggi akhir memburukkan keadaan dengan komen yang tidak sepatutnya.
“Isu ini bukan hanya perlu dijaga ketika dalam bulan Ramadan sahaja tetapi perlu dijaga dan dikawal pada bulan-bulan yang lain juga kerana ia satu perbuatan buruk dan jelas larangan dan tegahan dari Allah SWT dan Rasul.
“Mesej ini juga jelas buat golongan yang mendapat perhatian bahawa mereka tidak sepatutnya mendedahkan aib yang mungkin akan menjadi ikut masyarakat awam dan menganggap ia satu publisiti sedangkan ia amat ditegah dalam agama,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, sebagai pengguna media sosial, katanya, menjadi tanggungjawab sesama sendiri untuk tidak terus menyebarkan maklumat atau bahan berita yang mengaibkan.
“Kawal jari-jari kita daripada suka menyebarkan fitnah dan berita palsu. Imam Al-Ghazali menjelaskan, ada 20 jenis dosa yang muncul disebabkan lidah dan boleh dikias dengan jari dalam dunia moden ini.
“Antaranya ialah ghibah, fitnah, berbohong, memaki, sumpah palsu dan sebagainya yang dilakukan oleh jari dan disebarkan dengan jari. Justeru, penggunaan lidah juga perlu dijaga sewajarnya.
“Bahkan terdapat satu hadis dalam al-Quran surah Al-Humazah yang bermaksud pemfitnah. Allah SWT mengancam dengan memberi peringatan kepada orang-orang yang membuat fitnah dalam ayat tersebut.
“Aib diri seseorang hanya dapat dipelihara apabila setiap manusia menjaga lidah, perlakuan dan perbuatan dari mengucapkan atau menulis komen yang berunsur fitnah, memaki dan sebagainya,” akhirinya lagi.
#puasa gajet #media sosial #Dr Norhisham bin Muhamad #Puasa 2023
;