Projek PRIHATIN rapatkan jurang masyarakat Malaysia dan gelandangan di UK

Malik Ridhwan
Mac 3, 2016 00:55 MYT
Projek PRIHATIN bertujuan menyemai nilai perkongsian dan penyanyang dalam kalangan komuniti rakyat Malaysia di United Kingdom. - Gambar Kelab UMNO London
Siapa sangka bahawa rakyat Malaysia di luar negara mengambil berat terhadap golongan gelandangan di United Kingdom (UK)?
Kumpulan komuniti kecil ini menunjukkan kepada dunia sifat sebenar kita iaitu mempunyai nilai perkongsian dan penyayang.
Kira-kira 80 sukarelawan Malaysia menganjurkan Projek PRIHATIN yang bertujuan memupuk masyarakat dan pelajar Malaysia di UK untuk mempunyai pemikiran terbuka dan sifat keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Kota London.
Projek PRIHATIN adalah satu inisiatif baru oleh Kelab UMNO London yang disokong oleh IKRAM United Kingdom & Eire, IKRAM Care and Relief dan Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Ireland (UKEC).
Siri pertama projek itu bermula di London baru-baru ini yang bertemakan 'Mendekati Gelandangan, Semaikan Senyuman'.
Menurut Pengarah projek Izzat Fahimuddin Mohamed Suddian, pelajar Ijazah Kedoktoran tahun akhir dalam jurusan kajian Nano-Perubatan di King’s College London, beliau mahukan para sukarelawan yang terlibat khususnya pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kerjaya semata-mata malah serba boleh.
“Dengan penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan sebegini, kita dapat melahirkan generasi masyarakat yang mempunyai sikap mengambil berat akan kebajikan dan kesengsaraan mereka yang memerlukan,” katanya.
Sebanyak 200 pek bungkusan makanan yang terdiri daripada biskut dan roti diedarkan kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan Paddington, Oxford Street, Victoria, Piccadilly Circus dan Angel.
Salah seorang sukarelawan, Dr. Aisyah Ismail memuat naik catatan di laman Facebook dengan berkata: “Kami berjalan selama hampir 3 jam dalam keadaan suhu 4 darjah Celcius dari Paddington ke Oxford Street untuk memberi makanan kepada golongan miskin dan gelandangan.
"Tersentuh dengan tazkirah suami saya di penghujung program ini. Kita tidak mampu mengubah keadaan mereka dalam satu malam, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengubah hati kita.”
Pengerusi Kelab UMNO London Afeera Amran berkata Projek PRIHATIN merupakan satu inisiatif dari Kelab UMNO London yang membawa refleksi kepada nilai proaktif dan kesepaduan komuniti dan pelajar Malaysia di kota London.
“Slogan ‘Kami rakyat Malaysia dan kami prihatin’ membawa nama Malaysia dengan imej yang positif. Program ini sememangnya memberi impak yang sangat terkesan nilainya kepada kami semua. Ia adalah satu kejayaan yang besar dan InsyaAllah tinggi harapan saya agar Projek PRIHATIN dapat diteruskan untuk siri yang seterusnya,” kata pelajar tahun dua jurusan undang-undang University of Essex itu.
Pelan untuk Projek PRIHATIN seterusnya sedang giat dijalankan dan ia bakal diperluaskan ke Selatan UK dengan tema yang berbeza tetapi fokusnya kekal ke arah aktiviti sukarelawan dan kemasyarakatan.
#London #Projek Prihatin #UMNO