Program Syok Syok Riuh, himpunkan budaya Malaysia di bawah satu bumbung
Fareez Azman
November 3, 2019 18:52 MYT
November 3, 2019 18:52 MYT
Menampilkan kepelbagaian budaya Malaysia di bawah satu bumbung.
Itu keunikan Program Syok Syok Riuh selama dua hari anjuran RIUH dan SYOK platform digital dari Astro Radio.
Menurut Timbalan Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi RIUH Marissa Wambeck, bertempat di Sentul Depot, Sentul West bermula Sabtu lalu, program selama dua hari itu memberi peluang kepada komuniti setempat untuk merasai kembali keunikan budaya Malaysia.
"Matlamat penganjuran Syok Syok Riuh ini adalah untuk menghargai budaya Malaysia. Antaranya seperti Kopitiam, makanan tradisional termasuk persembahan seni tradisional serta bengkel kreatif membuat wau," katanya.
Tambah Marissa, kerjasama dijalin bersama SYOK iaitu platfrom digital dari Astro Radio juga menampilkan citarasa Malaysia yang sama.
SYOK yang boleh didapati dalam pelbagai bahasa secara percuma menawarkan video asli SYOK, podcast dan artikel.
Selain turut menawarkan berita dan perkembangan lalu lintas, SYOK juga boleh dilayari secara mudah menjadikannya sebagai aplikasi one-stop ataupun platform sehenti buat pengguna mendapatkan akses kepada kesemua 25 rangkaian jenama Astro Radio.
Begitu juga dalam Syok Syok Riuh yang menampilkan citarasa Malaysia dari sudut makanan, pakaian, hobi serta permainan tradisional.
Sebanyak 50 usahawan dengan produk tempatan serta 24 trak makanan mengambil bahagian dalam program itu.
Bagi Usahawan TaleSocks KL, Afiz Danial yang menampilkan stokin batik dan rekaan unik ini, Syok Syok Riuh menjadi pentas bagi beliau memasarkan produknya itu.
"Program ini menjadi pentas untuk saya pasarkan produk saya, idea saya ini iaitu stokin dengan rekaan Malaysia. Ada beberapa jenis antaranya stokin batik dan beberapa lagi corak," kata Afiz kertika ditemui di lokasi program di sini hari ini.
Bagi usahawan batik dari Terengganu, Nadia Hisham, 33, acara itu juga dapat mengembalikan seni tradisional yang kian lapuk ditelan zaman.
"Di Nysa Kapas, kami mahu terapkan pengetahuan atau ilmu mengenai asal usul batik terap kepada orang ramai. Kami mahu hidupkan semula batik ini yang kian ditelan zaman," kata Nadia.
Selain pameran, serta jualan produk tempatan, turut ditampilkan persembahan seni tradisional antaranya Sate Dance dari Anak Seni Productions, kumpulan muzik Mahakarya Studio dan Brassband Hornbae.
RIUH merupakan satu inisiatif MyCreative Ventures, syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan untuk memacu industri kreatif Malaysia.
#budaya
#Malaysia
#Malaysian
#produk
#santai
#Sentul
#Sentul Depot
#Sentul West
#Syok Syok Riuh
#tempatan
#tradisional