Produk pelurus rambut tingkat risiko kanser rahim - Kajian
Agensi
Oktober 18, 2022 11:43 MYT
Oktober 18, 2022 11:43 MYT
PRODUK meluruskan rambut boleh meningkatkan risiko kanser rahim dengan ketara dalam kalangan mereka yang kerap menggunakannya.
Dapatan itu berdasarkan satu kajian awam yang diterbitkan pada Isnin.
Menurut ketua kajian Axelandra White dari Institut Keselamatan Kesihatan Persekitaran (NIEHS) Kebangsaan Amerika Syarikat, pihaknya menganggarkan 1.64 peratus wanita yang tidak pernah menggunakan produk pelurus rambut akan menghidap kanser rahim pada usia 70 tahun.
Bagaimanapun, bagi pengguna yang kerap menggunakan produk pelurus rambut, risiko itu meningkat sehingga 4.05 peratus.
"Bagaimanapun, adalah penting untuk meletakkan maklumat ini dalam konteks. Kanser rahim adalah jenis kanser yang agak jarang berlaku," tambahnya.
Namun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, kanser rahim adalah barah ginekologi yang paling biasa di negara itu dengan kadarnya meningkat, terutamanya dalam kalangan wanita kulit hitam.
Penyelidik menjejaki 33,947 wanita pelbagai kaum berumur 35 hingga 74 tahun selama purata hampir 11 tahun.
Dalam tempoh itu, seramai 378 wanita menghidap kanser rahim.
Selepas mengambil kira faktor risiko lain peserta, kemungkinan menghidap kanser rahim adalah lebih daripada dua setengah kali lebih tinggi bagi wanita yang telah menggunakan produk pelurus rambut lebih daripada empat kali pada tahun sebelumnya.
Penggunaan pelurus rambut yang kurang kerap pada tahun lalu juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser rahim, tetapi perbezaannya tidak ketara secara statistik, bermakna ia mungkin disebabkan oleh kebetulan.
Kajian terdahulu telah menunjukkan pelurus rambut mengandungi bahan kimia yang mengganggu endokrin.
Produk tersebut sebelum ini dikaitkan dengan risiko kanser payu dara dan ovari yang lebih tinggi.
Kajian yang diterbitkan dalam The Journal of National Cancer Institute itu menyatakan penemuan berkenaan adalah bukti epidemiologi pertama perkaitan antara penggunaan produk pelurus rambut dan kanser rahim.
"Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengenal pasti bahan kimia tertentu," katanya.
Hubungan antara penggunaan pelurus rambut dan kanser rahim tidak berbeza mengikut kaum dalam kajian.
Bagaimanapun, wanita berkulit hitam menggunakan produk pelurus rambut atau 'relaxer' dengan lebih kerap dan cenderung untuk memulakan penggunaan pada usia lebih awal daripada kaum dan etnik lain.
"Penemuan ini mungkin lebih relevan untuk mereka," kata Che-Jung Chang dari NIEHS dalam satu kenyataan.