PRN Sarawak: Pertanian moden lebih mudah, bukan lagi bawa cangkul - Usahawan muda

Assim Hassan
November 28, 2021 10:52 MYT
Kini, Marldson mempunyai tiga 'greenhouse' yang mengusahakan pertanian moden sekali gus untuk pasaran sekitar daerah Betong.
BETONG: Membuat keputusan untuk menjadi seorang usahawan agro bukan satu keputusan yang mudah buat anak tempatan ini.
Selain minat dan keberanian menceburi bidang yang baharu, Marldson Sanggin Maoh, 32 tahun ini kini boleh berbangga apabila mengusahakan tanaman cili fertegasi, buah melon dan beberapa tanaman sayur hidroponik dalam tempoh empat tahun.
Mengakui pernah mengalami kerugian pada awal, ia bukan alasan untuk mengalah sebaliknya media sosial seperti Facebook dimanfaatkan sebagai medium menambah pengetahuan.
Marldson berkata, keputusan untuk menjadi usahawan agro ini dibuat selepas tamat pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Pelajar lulusan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia itu melihat peluang besar untuk dirinya bekerja sendiri.
"Dulu masa sekolah rendah dan menengah memang saya mahu bekerja sebagai penjawat awam tetapi apabila di UNIMAS ada modul mengenai keusahawanan saya mula tertarik selain mahu mencuba nasib.
"Kalau kita kerja sendiri walaupun letih tetapi kita tidak terbeban dengan tugas yang diberikan orang lain. Semuanya terpulang dengan diri kita," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Mengimbas kembali keputusan untuk tinggal di kampung Graji Atas, Betong dan mengusahakan pertanian, semua itu juga supaya dekat dengan kedua ibu bapanya.
"Kakak saya berada di Miri, abang saya pula di Kapit... jadi apabila saya melihat ibu bapa semakin berusia, saya membuat keputusan untuk tinggal bersama mereka dan mengusahakan tanah kami yang ada," katanya.
Kini, Marldson mempunyai tiga 'greenhouse' yang mengusahakan pertanian moden sekali gus untuk pasaran sekitar daerah Betong.
Selain itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, peluang pekerajaan yang mencabar ketika ini memerlukan anak muda untuk bijak memilih perjalanan hidup.
Katanya, pandangan serong kepada sektor agro perlu diubah anak muda kerana pertanian moden itu cukup berbeza dengan tradisinol.
"Anak-anak muda jangan lagi lihat menjadi petani ini kerja yang meletihkan. Tiada kerja yang senang. Cuba pertanian moden ini lain dan cukup berbeza tidak perlu membawa cangkul.
"Kalau saya lihat, anak muda zaman sekarang mereka tidak suka penat. Oleh itu, pertanian moden mcm ini terlalu banyak beza. Jika hendak tahu perbezaannya perlu belajar," katanya.
#PRN Sarawak #usahawan agro #Petani muda luar bandar #cili fertegasi
;