PRN Sarawak: Ayong Andam nekad jadikan Song sebagai hab pengeluaran kopi terbesar di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
Disember 16, 2021 17:00 MYT
Ayong juga menitipkan hasrat agar perusahaan ini juga akan mampu membuka mata pihak luar akan potensi yang dimiliki oleh pekan kecil Song. - Astro AWANI
SONG: Melihat kepada potensi tanah dan yang sesuai di Song dan permintaan pasaran yang tinggi terhadap biji kopi, seorang usahawan tani nekad mencuba nasib mengusahakan tanaman pokok kopi liberica.
Ayong Andam, yang merupakan bekas guru tidak menoleh ke belakang dalam usahanya menjadikan pekan itu sebagai hab pengeluar kopi terbesar di negeri itu.
Ketika ditemui Astro AWANI, Ayong juga berkongsi aspirasinya dalam melahirkan lebih ramai usahawan tani baharu di sana sebagai usaha meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Ujarnya idea pengusahaan tersebut direalisasikan selepas kajian dilakukannya mendapati Malaysia banyak mengimport biji kopi dari negara jiran termasuk Indonesia dan Vietnam.
“Bila saya melakukan kajian, saya dapati Malaysia mengimport kopi 98 peratus daripada negara jiran daripada Vietnam dan Indonesia yang terbesar sekali adalah Indonesia 48 peratus.
“Jadi kalau dibandingkan di dunia memang kita jauh ketinggalan oleh yang demikian inspirasi saya mula datang apabila mengetahui bahawa kita ada peluang yang begitu besar untuk kita mengusahakan tanaman ini,” katanya.
Ayong yang baru berjinak-jinak dalam tanaman itu berkata, dia kini selesai menanam lebih seribu anak pokok kopi liberica di tanah seluas lima hektar miliknya dan dijangka akan membuahkan hasil dalam tempoh dua tahun.
Untuk itu, besar impiannya untuk membawa lebih ramai usahawan tani baharu khususnya melibatkan komuniti di rumah panjang dan belia untuk turut serta dalam projek penanaman itu.
Ini kerana tanaman tersebut tidak memerlukan rutin penjagaan yang rumit seperti tanaman-tanaman lain dan dijangka akan memberi pulangan yang besar kepada pengusahanya.
“Saya mahu hasil tanaman ini mampu dijana dari masa ke masa dan bercita-cita untuk jadikannya sebagai satu tanaman komuniti.
“Justeru saya libatkan komuniti di Song untuk mereka bersama-sama menanam kopi supaya kita dapat membuat memberi bekalan yang cukup untuk kilang suatu hari nanti.
“Sekarang syukur kerana sudah ada yang berminat dan ketika ini sudah ada 19 peserta dari rumah panjang yang menyertai program ini,” ujarnya.
Antara lain, Ayong juga mempunyai misi besar dalam dalam melatih dan melahirkan coffee master dalam kalangan belia di Song selain mewujudkan sebuah mini bar berhampiran ladang kopinya.
Ini ujarnya bagi membolehkan mereka punya potensi dan peluang untuk mencari peluang pekerjaan di outlet kopi terkemuka di bandar-bandar utama seluruh negara.
“Selain daripada tanam kopi, bagi golongan belia, saya nak mereka terlibat dalam pemprosesan, pembungkusan dan selepas itu juga nak melatih mereka dalam aspek pengedaran.
“Selain itu juga, saya ingin melatih mereka untuk menjadi barista dan coffee master kerana trend minum kopi ini semakin mendapat tempat di kalangan belia.
“Untuk itu, saya merancang untuk melatih dan menjadikannya mereka sebagai barista dan coffee master yang hebat dan mampu menjana lebih pendapatan di bandar-bandar besar,” tambahnya lagi.
Mengakhiri perbualan, Ayong juga menitipkan hasrat agar perusahaan ini juga akan mampu membuka mata pihak luar akan potensi yang dimiliki oleh pekan kecil Song.
Malah dia juga tekad menjadikan biji kopi hasil tuaian ladangnya akan mampu dieksport ke seluruh negara malah bandar-bandar besar lain di seluruh Asia.
#Ayong Andam #Song #hab pengeluaran kopi #usahawan tani #pokok kopi liberica
;