Prihatin keperitan nenek sara enam cucu, ini yang netizen buat
Madiha Abdullah
Disember 2, 2017 10:09 MYT
Disember 2, 2017 10:09 MYT
SEORANG warga emas yang bergelut dengan masalah kewangan menemui sinar baharu selepas kisahnya ditular di laman sosial.
Bukan sahaja menerima bantuan kewangan hasil crowdfunding, tetapi wanita yang dikenali dengan nama Tok Ummi ini juga mungkin akan diberikan pekerjaan yang sesuai.
Kisah Tok Ummi ditular seorang pengguna Twitter, Ariff Iman Anuwi, pada Rabu lalu.
Dalam ceritanya, Ariff memberitahu dia terserempak dengan Tok Ummi ketika wanita itu bersama cucunya sedang menolak sebuah troli penuh berisi tin untuk dijual.
Tok Ummi yang sudah 20 tahun kematian suami, tinggal bersama anak perempuannya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), serta enam orang cucu.
Selain bantuan daripada kerajaan berjumlah RM400 setiap bulan, Tok Ummi menyara keluarga termasuk empat cucu yang masih bersekolah hanya dengan hasil jualan tin.
Atas rasa simpati, Ariff kemudiannya memulakan tabung untuk membantu Tok Ummi dan keluarga, dan ia pantas mendapat perhatian netizen.
Status itu menerima lebih 15,000 retweet, dan pada Jumaat, Ariff menyerahkan bantuan wang yang berjaya dikumpul berjumlah RM2,230 itu kepada Tok Ummi.
Bukan itu sahaja, kisah Tok Ummi juga mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.
Azmi dalam tweetnya memaklumkan kepada Ariff, Prasarana bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada Tok Ummi jika terdapat kekosongan.