Potong rambut paling pantas, lelaki ini berjaya pecah rekod dunia
Faida Rahim
September 15, 2022 14:52 MYT
September 15, 2022 14:52 MYT
ATHENS: Seorang tukang gunting rambut memecah rekod Guinness World Record apabila berjaya mencatatkan masa kurang dari seminit memotong rambut pelanggannya.
Memetik laporan Geo News, Konstantinos Koutoupis yang berasal dari Greece berjaya memotong rambut dalam masa 47.17 saat sahaja pada 19 Februari 2017.
“Mahukan potongan rambut paling pantas? Bagaimana dalam masa 45 saat sahaja?,” tulis akaun Guinness World Records dalam hantaran yang dimuat naik di Twitter baru-baru ini.
Video berdurasi tiga minit itu memaparkan aksi Koutoupis memotong rambut sambil memegang sikat dalam pergerakan yang cukup pantas. Hasil potongan juga dilihat memuaskan.
Juri bertugas juga dilihat berpuas hati dengan potongan rambut yang melayakkan nama Koutoupis dimasukkan ke dalam Guinness World Record.