Potensi siswazah pengajian Bahasa Melayu, linguistik bekerja di China makin meluas

Bernama
Ogos 9, 2024 13:13 MYT
Liang Liang yang lebih mesra dikenali sebagai Husna Liang (kanan) dan Huang Jiaye (Latifah Huang) ditemu bual Bernama Radio sempena Lawatan Delegasi CMG ke Wisma Bernama hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya siswazah pengajian bahasa Melayu dan linguistik daripada universiti tempatan berpeluang meneroka pasaran pekerjaan di China kerana permintaan terhadap penggunaan bahasa itu semakin meluas.
Wartawan Kumpulan Media China (CMG) Liang Liang atau mesra disapa Husna, 30, berkata pekerjaan yang menggunakan bahasa Melayu di China tidak terhad kepada pendidikan sahaja, malah semakin berkembang meliputi pelbagai aspek seperti pertanian, automotif dan pelancongan.
"Sebagai contoh ketika saya membuat liputan mengenai petugas Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) yang dihantar untuk mengikuti latihan industri dengan pembuat kereta terbesar di China, Geely Auto Group di Hangzhou.
"Saya merasakan pada masa akan datang Geely Auto Group memerlukan orang Malaysia yang fasih berbahasa Melayu untuk memudahkan perkongsian pengetahuan teknikal daripada kedua-dua syarikat automatif berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Husna bersama empat lagi wartawan CMG, dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia bermula semalam bagi memperkenalkan budaya negara itu selain meningkatkan lagi interaksi antara masyarakat di sini.
Beliau mula tular dan menarik perhatian rakyat Malaysia sejak 2020 kerana menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu di dalam setiap video mengenai tip pencegahan COVID-19 menerusi Facebooknya.
Husna yang kini ditugaskan menghasilkan berita tentang China di dalam bahasa Melayu berkata ketika ini sebanyak 16 universiti dan kolej di negara itu menawarkan jurusan bahasa Melayu sebagai bahasa asing.
"Sewaktu saya belajar di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dulu, saya melihat perlunya lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengajar tatabahasa dan budaya yang tepat kepada pelajar China.
"Sesiapa yang menguasai tatabahasa bahasa Melayu dengan baik dan berminat meneroka pengalaman kehidupan di China, jadi inilah saatnya," katanya dan menambah makanan halal di negara itu semakin senang diperoleh.
-- BERNAMA
#siswazah #Bahasa Melayu #pekerjaan #China #pelancongan #prospek kerja