Potensi besar, anak muda berbakat mahu sukan papan selaju diangkat
Astro Awani
Jun 28, 2020 18:54 MYT
Jun 28, 2020 18:54 MYT
Bagi sesetengah individu, permainan sukan papan selaju atau skateboard mungkin dianggap ekstrim dan berbahaya.
Namun tidak bagi anak muda, Mohd Iqmal Ishak, 18, yang menjadikan sukan tersebut sebagai hobi sejak kecil.
Melihat pada potensi yang ada, dia mahu sukan itu diangkat sama seperti sukan-sukan lain.
“Saya mula bermain papan selaju sejak saya berusia 12 tahun. Saya berminat dengan sukan ini sejak melihat abang-abang saya bermain secara aktif dalam sukan papan selaju ini,” katanya.
Semestinya, minat yang ada ditambah dengan segala latihan yang dilakukan di Sibu Gateway bukan hanya untuk memenuhi masa lapang sahaja, malah Iqmal pernah mewakili Sarawak dalam kejohanan sukan tersebut di Sabah dan Kuala Lumpur.
“Sebenarnya, saya sudah banyak kali menyertai pertandingan tetapi pencapaian terbaik saya apabila dapat mewakili Sarawak sebanyak dua kali,” beritahunya semasa ditemu bual Astro AWANI.
Kini, impian Iqmal tertumpu untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
Untuk permulaan katanya, dia menyasarkan untuk menyertai temasya Sukan Asia Tenggara.
“Saya berharap dapat mewakili Malaysia dalam sukan SEA yang akan datang. Ini juga bertujuan untuk membawa lebih ramai generasi muda untuk sama-sama bergiat dalam sukan menarik ini,” kongsinya.
Iqmal secara peribadi turut berharap agar pihak berkaitan khasnya badan-badan sukan negara dapat memberi peluang untuk sukan ini berkembang agar ia dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Mohd Iqmal Ishak
#Papan Selaju
#Sarawak
#SEA Games
#Sibu
#Skateboard
#Sukan Asia Tenggara