Poskad dari dasar laut jadi tarikan pelancongan di Pulau Layang-Layang

Tan Su Lin
Ogos 8, 2015 09:22 MYT
Peti pos itu terletak pada kedalaman 40 meter dari permukaan laut. -Foto Pos Malaysia
Pelancong yang berkunjung ke Pulau Layang-Layang, Sabah kini berpeluang mengirim surat atau poskad mengenai percutian mereka dari dasar laut.
Terletak pada kedalaman 40 meter dari permukaan laut, ia sekali gus mencipta rekod dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai peti pos dasar laut terdalam di negara.
Inisiatif hasil usaha sama Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu bakal menjadi produk pelancongan baharu serta daya tarikan khususnya kepada komuniti penyelam dari dalam serta luar negara.
Ia juga menyaksikan pelancaran poskod khas bernombor '88005' untuk Pulau Layang-Layang dan sebuah lagi peti pos di darat sebagai usaha meningkatkan kemudahan pos kepada para pelancong dan kakitangan yang tinggal di pulau itu.
Kedudukan peti pos pada kedalaman 40 meter itu juga menjadikannya sebagai peti pos dasar laut terdalam di dunia.
Walau bagaimanapun, permohonan dilapor sedang dibuat pihak terbabit untuk mendapat pengesahan tersebut, sekali gus bakal melihat ia mengatasi rekod dunia Guinness yang kini dipegang Susami, Wakayama di Jepun pada kedalaman 10 meter.
Peti pos dasar laut di Pulau Layang-Layang merupakan projek pos pelancongan kedua selepas yang pertama dilancarkan di Gunung Kinabalu sebagai peti pos tertinggi di Malaysia.
Avillion Layang-Layang Resort yang dilantik sebagai ejen pos di pulau itu akan menyediakan perkhidmatan posmen dasar laut pertama di Malaysia bagi memungut semua poskad kalis air dari dasar laut yang dikirim para penyelam.
Pulau Layang-Layang terletak 300 kilometer dari pantai Sabah dan mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan menggunakan kapal terbang dari Kota Kinabalu.
#dasar laut #Malaysia Book of Records #peti pos #pos malaysia #Pulau Layang-layang
;