Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin terap budaya teknologi hijau
Bernama
Disember 11, 2015 23:36 MYT
Disember 11, 2015 23:36 MYT
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) mengorak langkah melaksanakan amalan teknologi hijau selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dan rendah karbon menjelang 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri, Ahmad Bakri Ali menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian prestasi tenaga antara Pengarah PTSS Sulong Yahaya dan Pengerusi Eksekutif Taiace Engineering Sdn Bhd (Taiace) Isa Ismail, diadakan di sini hari ini.
Melalui perjanjian tersebut, pihak Taiace akan menukarkan segala peralatan elektrik di kampus berkenaan secara percuma melalui sistem automasi yang lebih efisien selama 80 bulan bermula Mac 2016.
Pengarah PTSS Sulong berkata pelbagai kegiatan melalui amalan Teknologi Hijau giat dijalankan secara berperingkat antaranya Budaya Hijau, Kampus Hijau, Program Teknologi Hijau, Komuniti Hijau dan Penyelidikan Hijau.
"Pelaksanaan setakat ini tertumpu kepada amalan seharian yang mudah diaplikasi oleh warga kampus PTSS seperti amalan kitar semula, Hari Tanpa Beg Plastik dan Kampus Bebas Polisterin," katanya.
Sementara itu, Ahmad Bakri berkata usaha PTSS ini sedikit sebanyak dilihat mampu menyumbang kepada kehadiran pelabur meneroka peluang di Perlis terutama dalam sektor teknologi hijau, pelancongan dan pembangunan bandar baharu.
"Ditambah pula dengan kewujudan Taman Teknologi Pauh Putra, ia bakal merancakkan lagi kegiatan ekonomi di negeri ini yang berpotensi menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan bioteknologi, pemprosesan herba dan pusat benih pertanian yang boleh dibangunkan secara komersial," katanya.