Pokok Sahabi tiada kena mengena dengan kisah Rasulullah

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 21, 2018 11:11 MYT
Pokok Sahabi di Jordan tiada kaitan dengan Rasulullah SAW, kata Rozaimi.
Orang ramai diseru tidak mudah mempercayai kisah pokok di Jordan yang dikaitkan dengan tempat perteduhan Rasulullah SAW memandangkan kesahihan masih diragui dan tiada bukti kukuh.
Jelas Pensyarah Hadis Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle kajian yang dibuat pakar dari Jordan mendedahkan usia sebenar pokok itu tidak sampai 1,000 tahun.
Beliau yang pernah menuntut di Universiti Mu'tah Jordan menegaskan ini bercanggah dengan dakwaan orang ramai yang menyebarkan cerita mengaitkan pokok itu dengan sejarah Rasulullah SAW.
Tambahnya lagi, yang menyedihkan terdapat juga segelintir umat Islam yang pergi menziarah pokok berkenaan dengan melakukan perkara dilarang di sisi agama dan kononnya mengambil berkat dari tempat tersebut.
"Kisah yang dikatakan Rasulullah berteduh di bawah pokok itu tidak disepakati oleh ulama hadis. Sebahagian mereka menerimanya dan sebahagian mereka menolak kesahihan ceritanya. Antara yang menolaknya ialah al-Zahabi (wafat: 748hijrah) dalam kitabnya Tarikh al-Islam.
"Sebab beliau (al-Zahabi) menolak kesahihan kisah ini ialah kerana ia bercanggah dengan logik akal. Riwayat ini menyatakan bahawa Baginda dipayungi awan, jika begitu mengapa perlu diteduhkan dengan bayangan pokok lagi? Bagaimana pula boleh ada bayang dari pokok jika baginda sudah diteduhkan oleh awan?" katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
BACA: Pokok tempat berlindung Rasulullah kekal segar hingga ke hari ini
Rozaimi lebih cenderung untuk menyokong dakwaan bahawa pokok berkenaan tidak ada kena mengena dengan kisah Rasulullah SAW.
Kajian yang dilakukan oleh Pusat Geografi Diraja Jordan menunjukkan pokok ini hanya berusia 520 tahun sahaja.
"Jika pergi untuk melihat kebesaran Allah kerana menghidupkan pokok di kawasan kering kontang tidak mengapa. Tetapi jika pergi untuk melakukan amalan khusus dengan anggapan ia pokok teduhan Nabi atau ia adalah 'the living sahabat', ia adalah dakwaan yang tidak ada bukti konkrit," tambahnya.
#Allah #Astro #Astro Awani #Islam #Jordan #laman sosial #pendidikan #Rasul #Rozaimi #taksub
;