Pohon Ranyai, simbol unik kemeriahan Gawai

Nickyson Nyambar
Mei 21, 2019 17:35 MYT
Menjelang Gawai, pohon Ranyai akan didirikan di tengah-tengah ruai iaitu ruang khas yang dibina mengikut struktur istimewa sesebuah rumah panjang. -Gambar hiasan
SAMBUTAN Gawai sememangnya dinantikan masyarakat Dayak. Sudah pastinya ada pelbagai aktiviti yang dianjur sepanjang bulan Mei menjelang sambutan Gawai yang bakal diraikan pada 1 Jun setiap tahun.
Mirip perayaan lain dengan dekorasi tersendiri, begitu jugalah dengan sambutan Gawai Dayak dengan hiasan pohon Ranyai.
Seperti masyarakat Iban yang tinggal di rumah panjang, pohon Ranyai ini satu kewajipan. Menjelang Gawai, pohon Ranyai akan didirikan di tengah-tengah ruai iaitu ruang khas yang dibina mengikut struktur istimewa sesebuah rumah panjang.
Setiap rumah panjang pasti ada ruai kerana ruai inilah kawasan untuk berlegar dan berkumpul. Selain itu, Ranyai ini didirikan mengikut keputusan perbincangan bersama tuai rumah (ketua kampung) bersama komuniti rumah panjang itu sendiri.
Sama ada di kawasan ruai tuai rumah atau didirikan di ruai keluarga yang dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada sambutan Gawai itu, semua itu bergantung kepada tradisi sambutan sesebuah rumah panjang itu.
Pembuatan pohon Ranyai ini adalah antara warisan yang masih kekal utuh hingga kini. Mengikut tradisi, ia didirikan sebelum hari Gawai sebagai tanda perayaan tersebut bakal tiba tidak lama lagi.
Setelah Ranyai didirikan, komuniti rumah panjang akan bersama-sama menghiasinya dengan pelbagai jenis barangan.
Barangan ini selalunya terdiri daripada makanan dan minuman seperti buah-buahan, makanan ringan, air kotak dan sebagainya.
Semuanya akan disangkut di pohon Ranyai menjadikannya meriah. Sumbangan 'buah' Ranyai itu rata-ratanya daripada setiap keluarga yang ada di rumah panjang itu.
Pada hari Gawai akan ada 'upacara' Ranyai. Pengabang (tetamu) dan wakil keluarga rumah panjang akan bergilir-gilir menari tarian Ngajat mengelilingi pohon Ranyai ini sebelum memilih barangan yang disangkut pada pohon itu. Paluan Gong dan muzik tradisional akan mengiringi acara ini.
Ikatan yang ada di Ranyai itu juga akan dipotong menggunakan parang usai tarian Ngajat. Kebiasaannya, sesiapa yang mengambil giliran terakhir akan menebang pohon Ranyai itu.
Inilah keunikan tradisi di rumah panjang sempena Gawai.
Ikuti perkongsian selanjutnya bersama wartawan Nickyson Nyambar di AWANI Sarawak dalam perjalanannya Pulai Bergawai pada 1 Jun nanti.
#Dayak #gawai #Gawai Dayak #Iban #Pengabang #Pohon Ranyai #tarian Ngajat
;