PKPP: Minat untuk riadah berbasikal? Ini 9 tip mudah untuk anda

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 23, 2020 09:52 MYT
Bagi anda yang baru sahaja berjinak dalam aktiviti riadah ini, anda dinasihatkan untuk mengajak rakan-rakan yang lebih berpengalaman. -Gambar hiasan
SELAIN aktiviti riadah seperti berjoging, mendaki bukit dan memancing, aktiviti berbasikal sudah mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), orang ramai mula dibenarkan melakukan aktiviti riadah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagi anda yang baru sahaja berminat melakukan aktiviti berbasikal, ini sembilan tip yang dikongsikan penunggang basikal profesional untuk anda:
1) Memahami peraturan yang ditetapkan
Orang ramai yang mahu melakukan aktiviti berbasikal dinasihatkan untuk mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang risiko.
Ia termasuk mementingkan aspek keselamatan seperti memakai topi keledar, pakaian cerah dan mengambil kira faktor masa serta lokasi apabila melakukan aktiviti itu.
2) Jangan bimbang untuk berbasikal di jalan raya
Ketika anda sedang berbasikal, anda disarankan untuk berfikiran seperti seorang pemandu kereta. Ini supaya pergerakan anda boleh dijangka pemandu lain.
Ia termasuk berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah, berhenti pada papan tanda berhenti, dan berbasikal menggunakan arah sama dan bukan melawan arus.
3) Masih kekalkan penjarakan sosial
Ingat.. Kita masih lagi dalam usaha memerangi pandemik COVID-19. Jadi anda disarankan untuk menggunakan pelitup muka yang lebih selesa seperti skaf bandana dan sentiasa membawa cecair pembasmi kuman.
4) Pastikan anda gunakan helmet dengan yang saiz yang betul
Ketika berbasikal, pastikan topi keledar yang anda gunakan adalah sesuai dengan saiz kepala anda.
Menurut pakar, jarak antara helmet anda sehingga bahagian kening tidak boleh melebihi dua jari apabila diletakkan secara melintang.
Jarak antara topi keledar anda sehingga bahagian dagu juga tidak boleh melebihi dua jari apabila diletakkan secara melintang.
5) Cari teman berbasikal bersama
Bagi anda yang baru sahaja berjinak dalam aktiviti riadah ini, anda dinasihatkan untuk mengajak rakan-rakan yang lebih berpengalaman.
Anda boleh bertanyakan pengalaman mereka sepanjang berbasikal di laluan yang berbeza.
6) Pastikan basikal anda selamat digunakan
Sebelum memulakan perjalanan, anda perlu memastikan basikal anda dalam keadaan selamat. Pastikan anda sudah memeriksa keadaan tayar, brek, rantai basikal dan sebagainya.
Pastikan anda juga memakai pakaian dan kasut yang sesuai agar anda lebih selesa ketika berbasikal.
7) Kunci basikal
Pastikan anda mengunci basikal jika anda meletakkannya di luar rumah. Ia bagi mengelakkan kes kecurian berlaku.
8) Latih kemahiran berbasikal dan cara mengelakkan bahaya
Sebelum berbasikal, anda juga disarankan untuk melakukan kajian dan memahami apakah risiko ketika melakukan aktiviti itu terutamanya di jalan besar.
Pakar turut menasihatkan bagi permulaan, anda boleh melakukan aktiviti itu di jalan-jalan yang lebih sunyi tanpa kenderaan laju.
Anda juga boleh melatih kemahiran seperti mengendali brek dan gear pada basikal.
9) Anda tidak perlu berbasikal sepanjang jalan pergi dan balik
Bagi anda yang baru mahu memulakan aktiviti ini, anda dinasihatkan untuk mengambil jalan yang lebih mudah seperti berbasikal pada satu hala.
Tidak semestinya anda perlu berbasikal ke satu destinasi yang ingin dituju kemudian patah semula ke destinasi permulaan.
Sumber: Huffpost.com
#aktiviti riadah #berbasikal #berjoging #jalan raya #mendaki bukit #pandemik #penjarakan sosial #Peraturan #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #topi keledar
;