PKP: Pengalaman saya di angkasa mampu dijadikan panduan - Sheikh Muszaphar
Fareez Azman
Mac 30, 2020 13:43 MYT
Mac 30, 2020 13:43 MYT
Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata pengalaman beliau ketika berada di angkasa lepas pada 2007 boleh dijadikan panduan untuk rakyat kekal positif meskipun berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.
Beliau sedar keadaan semasa amat mencabar kekuatan mental, fizikal dan psikologi setiap rakyat apabila menerima tekanan akibat gangguan rutin seharian yang terbatas.
"Kami (angkasawan) telah diuji kekuatan mental, fikizal dan psikologi, bagi saya kekuatan minda itu paling penting memang nak ke angkasa lepas risikonya tinggi tetapi kami diajar untuk memisahkan logik dan emosi untuk membuat sesuatu keputusan.
"Jadi berbalik kepada PKP, bukan mudah dan bukan senang tapi amat penting seseorang mempunyai kekuatan mental. Gunalah masa ini untuk bonding bersama anak-anak, saya sendiri menghabiskan banyak masa bersama anak-anak seperti mengajar mereka, memasak, melukis, main board games dan banyak perkara boleh kita buat.
"Juga beberapa perkara yang saya tidak boleh buat sebelum ini seperti membaca buku, juga menulis buku mengenai parenting dapat saya lakukan.
"Jadi nasihat saya, buat sesuatu yang boleh menenangkan jiwa kita, bersolat dan meditasi juga memainkan peranan yang penting. Banyakkan berhubung dengan kawan-kawan dan orang yang tersayang supaya anda tidak rasa beban tinggal di rumah dalam jangka masa waktu yang panjang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Meskipun pada awalnya agak sukar bagi sesetengah rakyat untuk tinggal di rumah seperti disarankan kerajaan, namun keselamatan semua ujarnya adalah tanggungjawab setiap individu di negara ini.
"Memang tidak dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan ini memberi kesukaran kepada semua rakyat Malaysia, sekarang lebih dua minggu perintah ini dilaksanakan. Namun masih ada yang berdegil dan tidak mematuhi arahan, ini sesuatu yang membimbangkan dan melibatkan seluruh rakyat Malaysia.
"Ketika ini, adalah sangat penting kita mesti faham tentang bencana COVID-19 ini, ia bukan sahaja menyerang orang tua tetapi juga menyerang golongan muda dan kanak-kanak. Virus ini boleh berada di udara dua hingga tiga jam, sebab itu dikatakan social distancing (penjarakan) itu amat penting dan virus ini boleh berada di pelbagai permukaan selama dua-tiga hari," jelas beliau lagi.
Justeru, jika setiap rakyat sedar akan bahayanya ancaman COVID-19 ini, beliau percaya rantaian virus itu boleh diputuskan dengan kerjasama semua pihak dan bukan hanya dari petugas barisan hadapan.
#Angkasa Lepas
#Angkasawan Negara
#COVID-19
#duduk rumah
#keselamatan
#koronavirus
#panduan
#perintah kawalan pergerakan
#rakyat
#Rantaian
#Sheikh Muszaphar
#Tips