Pizza Durian Pak Din dapat sambutan peminat tegar raja buah
Bernama
Julai 6, 2019 10:44 MYT
Julai 6, 2019 10:44 MYT
Musim durian yang melanda ketika ini memberi ilham kepada seorang peniaga mencuba idea baharu menggabungkan budaya Itali dan Malaysia dengan mengasilkan "pizza durian" untuk dinikmati oleh peminat raja buah itu.
Jika difikirkan memang agak pelik, namun idea Kamaruddin Abdul Kadir, 54 mengetengahkan pizza durian sebagai satu inovasi dalam cara menikmati raja buah itu dan mungkin dapat dicuba oleh pelancong dari negara barat yang agak ragu-ragu dengan rasa dan bau durian itu sendiri.
Kamaruddin yang mesra disapa Pak Din berkata beliau berniaga pizza durian ini sejak tiga hari lepas secara kenderaan saji (foodtruck) di Ayer Molek dan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan dengan meraih lebih RM1,000 bagi pizza jenis itu yang rata-rata mengemari rasanya yang enak dan lembut.
Menceritakan bagaimana datangnya idea mencipta pizza durian itu beliau berkata "Idea ini muncul kira-kira 1 pagi ketika membeli durian untuk anak-anak, tetapi disebabkan mereka telah tidur saya membuka durian itu untuk mengelakkan rasa masam dan terlintas di fikiran untuk cuba meletakkan isinya pada roti pizza.
"Ternyata roti pizza dan durian agak sesuai digandingkan selain cuba menggunakan durian kampung namun gabungannya tidak sama kerana isinya yang pahit mengganggu rasa pizza berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama sempena 'Melaka Durian Street 2019' di Klebang.
Beliau berkata bagi menjaga kualiti serta mengekalkan kelazatan rasa pizza durian beliau menggunakan durian varieti IOI berikutan rasa manisnya yang lebih stabil.
Pak Din yang berasal dari Duyong berkata beliau juga menggunakan tiga jenis keju iaitu cheddar, parmesan dan mozzarella pada piza berkenaan dan tidak menambah bahan lain untuk mengekalkan rasa keaslian isi durian.
"Biasanya saya akan membeli Durian IOI kira-kira 10 hingga 12 kilogram namun selepas dibuang kulit dan biji, berat bersih isi yang tinggal kira-kira 900 gram hingga sekilogram.
"Walaupun selepas tamat musim durian, saya akan terus menjual pizza jenis ini dan telah berurusan dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka untuk mendapatkan bekalan durian berkenaan," katanya yang juga usahawan tani bimbingan FAMA.
Tambahnya, selain pizza yang siap dihidang terdapat juga permintaan pizza durian sejuk beku untuk pelanggannya selain turut menyediakan pizza ayam, makanan laut dan sebagainya.
"Untuk harga pizza durian bagi ukuran sembilan inci adalah RM29, manakala saiz biasa RM36 dan saiz keluarga RM43," katanya.
--BERNAMA
#durian
#inovasi
#kamaruddin abdul kadir
#masakan
#menu
#pelancong
#piza durian
#pizza durian pak din