'Pimpin tangan atuk masuk syurga, ya Abang...'
Madiha Abdullah
Mei 14, 2017 09:55 MYT
Mei 14, 2017 09:55 MYT
APABILA kasih sayang itu dicurah seikhlas hati, ia pasti akan membekas di hati. Kehilangan kasih sayang yang semurni itu, pasti akan ditangisi.
Ia mungkin hanya seekor kucing, namun kasih sayang yang pernah diberikan tuannya terus diingati, sehingga pemergian tuan yang dipanggil 'Atuk' itu sangat dirasai.
Pengguna Facebook dengan nama Azreen MJ berkongsi cerita kucing peliharaan arwah bapanya, yang cukup terkesan selepas bapanya meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu.
Kucing kampung yang dipanggil 'Abang' itu berubah karakternya susulan pemergian bapanya itu. Abang yang dahulunya manja dan nakal, bertukar menjadi pasif. Malah makan minum juga sudah tidak diendahkan.
Cerita Azreen, apa yang menyentuh hati, hampir dua minggu tidak bersuara, Abang akhirnya mengiau ketika Azreen memberitahu akan membawanya ke kubur, menjengah atuk.
Lebih memilukan, Abang pandai mencari jalan sendiri ketika ke kubur. Tidak perlu didukung atau diarahkan, ia dengan tenang berjalan menuju ke kubur atuk biarpun tidak pernah dibawa ke situ.
"Dia tahu itulah pusara sahabat baik, teman makan sekali dan beribadah. Cinta mereka berdua amat kuat.
"Abang berbaring dan mencium pusara sahabatnya. Lama juga dia melepaskan rindu," tulis Azreen.
Dan bagaikan satu perjanjian, pada malam hari yang sama, Abang pergi menyusuli tuannya. Pemergiannya genap dua minggu selepas atuk dijemput Allah.
"Nanti kat sana Abang cakap dengan Allah, atuk jaga Abang dan sayang adik - adik Abang. Pimpin tangan atuk masuk syurga, ya Abang?"
Status Azreen yang dimuat naik pada 11 Mei itu telah dikongsi lebih 8,000 kali, dengan lebih 10,000 likes.