Pesakit jantung dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun - PPUM
Bernama
Februari 23, 2016 16:55 MYT
Februari 23, 2016 16:55 MYT
Jumlah pesakit jantung di negara ini dijangka meningkat sebanyak tiga peratus kepada 28 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding 25 peratus ketika ini, kata Ketua Unit Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad.
Beliau berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan faktor peningkatan penyakit yang menjurus kepada serangan sakit jantung.
"Kajian National Cardiovascular Database menunjukkan trend peningkatan bagi penyakit hipertensi, diabetes, paras kolestrol tinggi, obesiti dengan amalan merokok merupakan faktor utama kepada serangan jantung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek bernilai RM2 juta sumbangan Yayasan Sime Darby (YSD) kepada Unit Kardiologi PPUM di sini hari ini.
YSD diwakili Ahli Majlis Tertingginya, Datin Paduka Zaitoon Othman manakala PPUM diwakili Dr Wan Azman, Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Mohd Amin Jalaludin dan Pengarah PPUM Profesor Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.
Dr Wan Azman berkata risiko serangan sakit jantung biasanya berlaku di negara sedang membangun seperti Malaysia di mana cara hidup penduduknya berubah secara mendadak selain masalah tekanan hidup apabila berhijrah dari kampung ke bandar.
Beliau berkata faktor penafian juga menyumbang kepada peningkatan serangan sakit jantung kerana ramai yang mengambil mudah terhadap serangan awal dan tidak peka dengan bahaya penyakit ini.
"Mereka seharusnya segera mendapatkan rawatan daripada doktor, namun mereka memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif yang ternyata tidak sesuai untuk mengubati sakit jantung," katanya.
Secara purata 20,000 penduduk di Malaysia diserang sakit jantung setiap tahun dan 25 peratus daripadanya berumur di bawah 50 tahun.
"Tahap umur ini adalah ketika mereka berada di puncak kerjaya dan apabila berlaku serangan jantung, impaknya adalah terhadap kerjaya, keluarga dan masa depan mereka," jelasnya.
Dr Wan Azman berkata pangkalan data pesakit jantung PPUM menunjukkan satu pertiga daripada 20,0000 pesakit itu tidak sempat diselamatkan kerana meninggal dunia di rumah atau ketika dalam perjalanan ke hospital.
"Di PPUM, kira-kira 1,000 pesakit jantung melalui prosedur angioplasti koronari setiap tahun dan peratusan kejayaan prosedur itu adalah 96.5 peratus," katanya.
Bagaimanapun PPUM mengharapkan bilangan pesakit menurun dengan adanya kemudahan kesihatan moden dan kesedaran dalam kalangan rakyat terhadap penyakit itu melalui maklumat yang banyak tersedia di media sosial.
Sementara itu Zaitoon berkata sumbangan RM2 juta itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan bagi membiayai kos prosedur angioplasti koronari di PPUM.
"Sumbangan ini diberikan untuk membiayai pesakit bagi tempoh dua tahun iaitu dari bulan ini sehingga Januari 2018," katanya.
Dr Wan Azman menyasarkan seramai 200 pesakit jantung akan mendapat manfaat daripada sumbangan itu.
#Dr Wan Azman Wan Ahmad
#jantung
#Kardiologi
#PPUM
#pusat perubatan universiti malaya
#Yayasan Sime Darby