Pesakit gout disaran elak toreh, tebuk sendiri benjolan gout

Bernama
Januari 3, 2024 14:31 MYT
Gout terjadi berikutan asid urik berlebihan terkumpul di dalam badan hingga membuatkan bahagian sendi seperti jari, buku lali dan lutut membengkak.- Gambar hiasan/Freepik
KUALA LUMPUR: Pesakit gout dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sendiri cecair asid urik daripada tophi atau benjolan yang terbentuk di bawah lapisan kulit kerana boleh menyebabkan risiko jangkitan kuman sehingga boleh mengancam nyawa.
Doktor Perubatan Am Klinik Syifa Dr Diyana Ahmad berkata tindakan berkenaan, yang kadang kala dilakukan dengan cara membuat belahan atau menebuk pada benjolan sendi bagi mengeluarkan cecair kapur (hablur kristal) oleh pesakit dan individu yang tidak mendapat tauliah perubatan, adalah berbahaya.
"Tindakan ini boleh mendatangkan risiko mendapat jangkitan, ada jangkitan pada sendi lagi bahaya, sebab kena buat pembedahan, jangkitan itu boleh membahayakan nyawa, boleh buat jadi sepsis satu badan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia dengan tajuk 'Serangan Gout dan Langkah Pencegahannya' di Bernama.
Beliau berkata kebiasaanya pakar perubatan hanya akan melakukan pembedahan bagi membuang tophi terutamanya jika dijangkiti kuman, namun ia dilakukan dengan cara yang selamat, bersih dan mengikut prosedur rawatan sepatutnya.
Dr Diyana berkata jika seseorang pesakit mahu benjolan berkenaan mengecil, mereka perlulah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan bersesuaian untuk memastikan kandungan asid urik dalam darah berada di bawah bacaan 300 micromol.
Beliau berkata, gout terjadi berikutan asid urik berlebihan terkumpul di dalam badan hingga membuatkan bahagian sendi seperti jari, buku lali dan lutut membengkak, antara lain disebabkan oleh faktor pemakanan.
Sebagai langkah pencegahan penyakit kronik termasuk gout, Dr Diyana berkata seseorang individu disaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat, diet seimbang, melakukan saringan kesihatan, mengekalkan berat badan ideal dan menjauhi tabiat merokok.
-- BERNAMA
#gout #cecair asid urik #benjolan #jangkitan
;