Perunding kecantikan dinobat Miss Chipao Malaysia 2017
Bernama
Mac 18, 2017 07:59 MYT
Mac 18, 2017 07:59 MYT
Perunding kecantikan Ellicia Wong Bei Ying, 27, malam tadi dinobatkan sebagai Miss Chipao (Cheongsam) Malaysia 2017 di sebuah hotel di sini.
Pada majlis itu, beliau yang pertama kali menyertai pertandingan ratu cantik dan berjaya menewaskan 16 lagi finalis turut diumumkan sebagai pemenang gelaran Miss Eligance.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan beliau mewakili Malaysia ke Miss Chipao International 2017 yang akan diadakan di Beijing, China hujung tahun ini.
Guru vokal Catherine Soon, 27, menjadi naib juara manakala perancang kewangan Lee Jaquee, 22, meraih tempat ketiga.
Wong yang berasal dari Kuala Lumpur teruja selepas menerima mahkota daripada pemenang tahun lepas, Verselle Yong.
"Saya tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini. Ini pertama kali saya menyertai pertandingan ratu cantik dan saya sangat gembira," katanya.
Sementara itu, bagi kategori wanita berkahwin, Mrs Chipao Malaysia 2017 menjadi milik pekerja kecantikan, San Yee Chin, 29, yang mengalahkan lima lagi pesaing.
Pengasas Miss Chipao Malaysia Jason Hee Jee Pin berkata pertandingan itu yang pertama kali diadakan pada 2013, bertujuan untuk memberi inspirasi kepada wanita muda dengan memberikan mereka ruang untuk menyerlahkan bakat mereka.
"Ia pasti satu pertandingan kecantikan dan kebijakan kerana pertandingan tahun ini menarik ramai peserta yang mengikuti pengajian profesional.
"Pemenang akan melalui satu siri kelas dandanan, latihan pentas, fesyen, peragaan, keusahawanan dan program amal sebelum bersaing untuk merebut gelaran Miss Chipao International hujung tahun ini," katanya.
Semua pemenang menerima sijil penyertaan dan hadiah tajaan bernilai lebih daripada RM50,000. -- Bernama