Perubahan venue perlawanan JDT dan Felda, pengurusan hotel mohon maaf
Madiha Abdullah
September 29, 2017 10:24 MYT
September 29, 2017 10:24 MYT
SUSULAN kekecohan perubahan venue perlawanan Liga Super antara pasukan Felda United dan JDT, pengurusan sebuah hotel di Jengka telah memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan menyediakan penginapan seperti kebiasaannya.
Hotel Darul Makmur, melalui pengurusnya, Mansor Mat Isa, menjelaskan, perubahan tarikh perlawanan adalah punca timbulnya masalah.
Pihak hotel, kata Mansor di akaun Facebooknya, telah block tarikh 29-30 September kerana mengetahui ia adalah tarikh perlawanan antara pasukan Felda United dan JDT di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Difahamkan Hotel Darul Makmur merupakan antara hotel paling dekat dengan stadium berkenaan, dan mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.
Masalah timbul apabila berlakunya perubahan tarikh, apabila perlawanan yang sepatutnya berlangsung 30 September, dianjak ke 28 September.
Hotel berkenaan, kata Mansor, tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan mereka sudah menerima tempahan untuk rombongan agensi kerajaan pada 25 hingga 29 September.
"Setiap tarikh akan kami block dari awal walaupun pasukan tersebut tidak menginap di hotel kami.
"Sebagai contoh, kami dah siap block tarikh untuk pasukan Kedah pada 14-16 Oktober bagi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, meskipun pasukan Kedah belum membuat tempahan.
"Ini langkah proaktif dari pihak hotel walaupun kami mungkin hilang pelanggan dalam tempoh itu.
"Kami memohon maaf kepada semua peminat dan penyokong Felda United dan juga pasukan JDT sendiri. Kami telah cuba melakukan yang terbaik dan berharap semuanya mengikut perancangan," tulis Mansor.
Kekecohan timbul beberapa hari lalu apabila JDT dilaporkan meminta venue perlawanan diubah dari Stadium Tun Abdul Razak ke Stadium Shah Alam, tiga hari sebelum perlawanan.