Pertikai kemampuan Faiz Subri berbahasa Inggeris, netizen bidas penulis portal
Madiha Abdullah
Januari 11, 2017 14:03 MYT
Januari 11, 2017 14:03 MYT
MUNGKIN kerana gugup dan jarang menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan seharian, ucapan Mohd Faiz Subri ketika menerima Anugerah Puskas di pentas Anugerah Bola Sepak FIFA The Best 2016 di Zurich pada awal Selasa, tidak selancar yang sesetengah pihak harapkan.
Ia bagaimanapun tidak menimbulkan masalah kerana perkara yang penting adalah pencapaian pemain berusia 29 tahun itu telah membanggakan negara.
Namun, apabila sebuah portal berita mengeluarkan satu artikel yang dilihat mengkritik kebolehan berbahasa Inggeris Faiz, ramai yang tampil memberi pandangan.
Antaranya adalah seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Joe Najib.
Dalam satu kemas kini status panjang lebar, Joe mempersoalkan etika kewartawanan yang dimiliki penulis artikel berkenaan yang disifatkan seolah-olah mengamalkan double standard.
Ini kerana, kebanyakan atlet, waima juara dunia sekalipun, mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang 'biasa-biasa' sahaja.
Bukan sahaja atlet, malah penduduk di seluruh dunia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, kebiasaannya tidak menguasai bahasa itu dengan sepenuhnya.
Apa yang penting adalah kejayaan individu seperti Faiz adalah lebih besar, jauh lebih besar mengatasi kekurangannya dalam berbahasa Inggeris.
Mengakhiri statusnya, Joe Najib melontarkan pertanyaan kepada si penulis tentang sumbangannya kepada negara.
"Selain memberikan anda gaji setiap bulan, apa lagi yang anda dapat daripada penguasaan bahasa Inggeris anda yang sangat baik itu?
"Saya tak sanggup nak tanya apa pula sumbangan anda kepada negara," tulisnya.
Status Joe itu telah menerima lebih 27,000 likes dan lebih 7,000 perkongsian.