[PERSPEKTIF] Elemen kekinian dalam pengkostuman teater tradisional Melayu

Nur Afifi Mohamed Taib
Januari 2, 2019 17:58 MYT
Walaupun acap kali dipentaskan, rupa dan gaya teater tradisional ini turut mengikut keadaan semasa, terutama dari sudut pengkostumannya. - Nur Afifi
KOSTUM teater mempunyai fungsi khas dalam suatu pementasan.
Antara fungsi kostum menurut Anderson, ia menggariskan identifikasi perlambangan pada sesuatu watak seperti jantina, usia, status sosial dan psikologi watak yang akan tersarung pada tubuh seorang pemeran watak (pelakon).
Identifikasi perwatakan itu akan terhasil dari penyatuan elemen dan prinsip seni reka yang digarap berteraskan konsep dan gaya pementasan sesebuah teater.
Fungsi kostum juga adalah untuk memudahkan audiens mengenalpasti bentuk/genre teater dan latar masa cerita yang dipentaskan.
Di Malaysia, terdapat pelbagai bentuk teater dari yang tradisional sehinggalah ke moden. Teater tradisional Melayu seperti Mak Yong, Mek Mulung, Jikey dan Bangsawan masih mempunyai tempat dan masih dipersembahkan hingga hari ini.
Teater genre ini sedikit sebanyak memaparkan estetika Melayu kepada umum di samping memelihara warisan yang telah diperturunkan dari generasi lampau. Setiap jenis pementasan tradisional ini dikenali dengan penggunaan kostum-kostum khusus yang diperkayakan dengan ciri-ciri khas bagi setiap bentuk kesenian yang tersebut.
Walaupun acap kali dipentaskan, rupa dan gaya teater tradisional ini turut mengikut keadaan semasa, terutama dari sudut pengkostumannya.
Pengkostuman Watak Raja Dewa Kayangan dan Bunga Kasih Sakti
Foto: Ainuddin Hatta untuk dokumentasi Nur Afifi M Taib
Unsur kekinian yang diterapkan pada kostum-kostum teater tradisional ini pastinya akan memberikan kesan jangka panjang terhadap apresiasi kesenian itu sendiri.
Apakah yang dimaksudkan penulis dengan kekinian? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan kekinian didefinisikan sebagai keadaan terbaharu atau mutakhir dan juga keadaan masa kini.
Unsur kekinian dalam pengkostuman sesebuah teater tradisional mencakupi beberapa aspek seperti rekaan, potongan, bahan asas, kemasan dan aksesori pelengkap gaya.
Menggarap rupa dan gaya bentuk tradisi pada mutakhir ini turut menimbulkan persoalan akan isu memelihara serta memulihara estetik dan etika pengkostuman sebuah teater tradisional.
Ini terletak pada rekaan atau penataan gaya sebagai aspek utama perbincangan tulisan ini. Contoh yang digunakan adalah dari rekaan kostum penulis untuk teater Mak Yong Titis Sakti yang dipentaskan awal tahun 2018.
Naskhah A Mid Summer Night’s Dream karya William Shakespeare yang dipentaskan dalam struktur persembahan dan gaya Mak Yong.
Pengkostuman watak Cempaka Sari yang digarap dari gabungan tradisi dan elemen kekinian
Foto: Ainuddin Hatta untuk Dokumentasi Nur Afifi M Taib
Nuansa tradisi itu pastinya perlu dikekalkan kerana mengambil struktur dan acuan Mak Yong namun keterampilan watak-watak perlu diselaraskan dalam bentuk tradisi untuk mengekalkan ciri khas kesenian yang berasal usul dari negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga.
Umumnya bagi produksi ini, gaya pengkostumannya masih mengekalkan ciri-ciri asal kostum dalam sebuah pementasan Mak Yong. Watak-watak utama dan sokongan seperti Raja Besar (Theseus), Iskandar Muda
(Lysander) dan Indera Putera (Demetrius) mengekalkan gaya kostum Pak Yong dan Pak Yong Muda, iaitu berbaju lengan pendek, berseluar panjang dan bersamping serta dilengkapkan dengan La manik, bengkung, pending dan mahkota.
Bagi membezakan taraf dan psikologi watak, elemen tekstur dan warna memainkan peranan utama. Untuk watak Raja Besar lakonan Mardiana Alwi misalnya, wataknya sebagai Raja dimanifestasi dengan penggunaan songket penuh natar hitam berbenang emas, dipadankan dengan samping songket penuh natar kuning diraja.
Pastinya, untuk watak utama ini, dicorakkan dengan penggunaan kain yang tampak mewah dan umumnya audiens mengetahui songket itu sebagai sejenis tenunan dan pakaian di Raja. Warna hitam pula dipilih untuk mengekalkan ciri khas watak Pak Yong Tua yang sering digunakan secara tradisi.
Berbeza dengan watak ‘kayangan’ seperti Raja Dewa Kayangan (Oberon) lakonan Zamzuriah Zahari, walaupun masih mengekalkan bentuk kostum asas bagi watak Pak Yong, tekstur dan warna merupakan elemen senireka penting dalam menzahirkan watak mistik ini. Rona putih dan perak yang terinpirasi dari warna awan gemawan dan pepatah Inggeris “Every cloud has a silver a lining” itu digunakan sebaiknya untuk penzahiran watak ini.
Pengkostuman watak Seri Laksana (kiri) dan Cempaka Sari (kanan) yang digarap dari elemen tradisi dan masa kini. Terhasil gaya Kebaya – Kemban dari bahan Songket bunga tabur, Taffeta dan Duchess. Tatarias keseluruhan masih mengekalkan unsur Mak Yong yang kental.
Foto: Ainuddin Hatta untuk Dokumentasi Nur Afifi M Taib
Baju dan seluarnya menggunakan broked putih berbenang perak, sampingnya songket putih, La manik dari bahan manik kristal, perak dan cermin; begitu juga dengan mahkota yang direka khas, juga menerapkan skima warna yang serupa. Kesemua ini adalah untuk penghasilan visual watak yang dominan di atas pentas.
Watak-watak ‘Kayangan’ lain seperti watak Peran Tua dan Muda (Puck) dan juga Bunga Kasih Sakti tetap mengekalkan nada warna dan tekstur yang serupa dengan Raja Dewa Kayangan. Elemen kemilau dan kilat barat ditekankan untuk membezakan watak mereka yang berasal dari alam atas langit. Elemen spektakular telah diterapkan pada watak Bunga Kasih Sakti dengan kostum kreatif yang direka khas. Elemen yang dimaksudkan adalah kelopak bunga berwarna merah dari bahan net tembut yang kelihatan seperti skirt bila dilepas dan bertukar menjadi kelopak bunga bila ditarik ke atas. Aspek kekaguman ini adalah untuk memberikan visual yang magis bila watak Bunga Kasih Sakti ini menjalankan sihirnya ke atas pasangan kekasih Iskandar Muda – Cempaka Sari (Hermia) dan Indera Putera – Seri Laksana (Helena).
Watak-watak gadis dan wanita pula, secara tradisi, pengkostuman mereka terdiri dari baju jenis kebaya bagi watak-watak sokongan dan ada kala watak puteri mengenakan kemban seperti persalinan Cik Siti Wan Kembang. Untuk produksi ini, penulis telah memilih untuk menggunakan elemen kemban-kebaya untuk watak- watak Cempaka Sari dan Seri Laksana. Kekinian fesyen peplum turut menginspirasi penulis untuk diterapkan untuk dua watak ini. Telah digabungkan bahan Tafetta, Dutchess dan Songket bunga tabur untuk kostum mereka berdua. Perhiasan pula masih mengekalkan ciri khas perhiasan kebesaran Kelantan iaitu Pemeles sebagai mahkota, La manik untuk menghias bahu dan juga gelang tangan.
Pengkostuman untuk produksi ini amat dipengaruhi dengan bahan bahan yang terdapat dalam pasaran semasa. Ini merupakan factor utama mengapa pengkostuman untuk sesebuah produksi teater tradisional itu mempunyai rupa dan gaya serta tekstur yang tersendiri dan ia boleh menjadi penanda bila produksi itu dipentaskan. Mutakhir ini, fabrik-fabrik songket amat mudah didapati dan harganya juga amat berpatutan, ini menjadikan penggunaan meluas fabrik songket dalam genre teater tradisional. Namun, akibat mudahnya kedapatan fabrik ini, janganlah sehingga watak inang atau dayang turut bersongket seperti watak permaisuri atau puteri.
Babak “Tari Ragam” menampilkan kesemua watak, dari yang utama hingga ke watak sokongan. Elemen kekinian seperti penerapan potongan Kebaya Labuh kembang payung, Kebaya-Kemban, Kurung-Peplum, Kebaya Pendek Cekak Musang berlengan tiga suku, penggunaan turban namun tetap mengekalkan penggunaan kain sarung gaya Tindih Kasih secara tradisi.
Foto: Ainuddin Hatta untuk Dokumentasi Nur Afifi M Taib
Keterlibatan beberapa pelakon utama dan sokongan yang bertudung turut menyemarakkan lagi olahan dalam penggayaan kostum produksi ini. Sedikit sebanyak, tradisi wanita Melayu yang bersanggul telah digantikan dengan lilitan turban serta penggunaan anak baju serta anak tudung yang bersesuaian. Ini merupakan salah satu unsur kekinian dalam pengkostuman teater tradisional secara umum di Malaysia, terutama bagi mahasiswi IPTA yang mengambil kursus Seni Persembahan umumnya.
Semakin jauh menongkah masa, pastinya elemen kekinian akan memainkan peranan yang penting dalam penghasilan kostum bagi teater tradisional.
Namun, dalam mengaplikasi elemen itu dalam pengkostuman, perlulah ada ilmu dan kajian serta memahami bentuk dan fungsi asal.
Padanan pada kostum perlu diambil kira, contohnya kini telah menjadi satu kelaziman untuk watak puteri ditampilkan dengan skirt potongan duyung serta pakaian yang terlalu melekap dan menampakkan susuk tubuh. Perlulah diingat santun Melayu itu bila berpakaian.
Pereka atau penata kostum perlu ada rasa tanggungjawab dalam mengekalkan yang asal dalam ghairah mengenengahkan ilham rasa.
Kekinian dalam pengkostuman seharusnya tidak melenyapkan tradisi walaupun sifat kostum pentas itu, selalunya untuk dilihat dari jauh. Teknik pembuatan dan cara memakai perlu dikekalkan sedikit sebanyak agar warisan bahari itu tidak lenyap.
Hal ini nyata sekali dalam penggunaan kain sarung. Apabila buckram, zip dan getah pinggang menggantikan tali kendit dan tali pinggang besi, maka hilanglah seni dan estetik kain sarung yang telah menjadi pakaian umum wanita Melayu dari zaman berzaman.
Hasil dari teknologi moden ini, ramai wanita yang tidak tahu langsung tertib memakai kain sarung cara tradisi pada masa kini, lagi lagi bila perlu bersiap sendiri tanpa bantuan. Telah makin lenyap generasi penggiat kesenian yang mampu bertukar kostum berkain sarung bawah 3 minit jika ada pertukaran pantas dalam persembahan.
Kekinian itu perlu, kerana yang baharu dan semasa itu adalah catitan sejarah masakini untuk diwariskan ke generasi hadapan. Membayangkan sepuluh tahun akan datang, adalah harapan penulis, generasi itu masih dapat membezakan yang tradisi dan yang kreasi, yang lama dan terkini terutama dalam rekaan dan penggayaan kostum untuk teater tradisional umumnya.
Adalah sesuatu yang menarik apabila melihat dan menaakul gambar gambar persembahan yang pernah dipentaskan.
Visual yang memaparkan watak watak dalam kostum watak mereka itu sedikit sebanyak memberitahu bahawa, pada sekian tangguh waktu itu, pereka atau penata kostumnya telah membuat kajian atau tidak, bagaimana perbelanjaan yang telah dimodalkan, jenis-jenis fabrik, rona dan tona warna, teknik potongan dan pembuatan serta trend aksesori untuk melengkapkan pengkostuman pada waktu itu.
Semestinya banyak yang boleh dipelajari dan diperbaiki dalam terus melestari seni pengkostuman bagi teater tradisional Melayu.

* Nur Afifi Mohamed Taib merupakan Pensyarah Sinografi, Program Teater, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Puncak Perdana.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Jikey #Kolumnis AWANI #mak yong #Mek Mulung #Nur Afifi Mohamed Taib #teater tradisional
;