[PERSPEKTIF] Cabaran fesyen untuk 2019

Faizal Hamid
Januari 1, 2019 20:05 MYT
Faizal Hamid merupakan seorang Pensyarah, Penulis & Perunding Fesyen.
MEMINJAM kata-kata Shakespeare “much ado about nothing”, bagi saya kata-kata itu merupakan kesimpulan yang kita boleh berikan kepada topik-topik yang diberi tumpuan oleh dunia fesyen dan media sosial sejak kebelakangan ini.
The Buzz, the hype, the front row, the set – semua elemen yang disebutkan, kini terlihat lebih penting daripada falsafah, identiti, fungsi atau konsep sebenar pakaian dan pemakaian.
Generasi terdahulu mungkin menganggap aliran fesyen terkini semuanya merupakan kitaran perkara yang telah ada sebelumnya.
Ini bermaksud, kreativiti bukan lagi tunjang utama tetapi telah digantikan tempatnya oleh lebih kepada penggayaan (styling).
Dalam erti kata lain, fesyen kini menjadi terlalu generik, kurang unik dan sedikit membosankan. Yang pasti, generasi muda kini lebih tertarik menghasilkan sesuatu yang dianggap “hip and cool” semata-mata.
Apa pun kebenarannya, fesyen masih lagi berteraskan perniagaan. Sama ada kita setuju atau tidak, konsep “anything goes” selagi boleh meraih keuntungan dan selagi produk fesyen diperkatakan serta menjadi ‘viral’, ramai yang sanggup berbuat apa sahaja.
Dengan segala kebisingan yang berlaku secara luar sedar, kita mengenepikan persepsi kita sendiri terhadap semua yang berlaku di sekeliling dan hanya tertumpu dalam dunia fesyen.
Oleh sebab semuanya bergerak pantas, tiada masa lagi bagi kita untuk menghadam serta menganalisis semua yang dipersembahkan daripada atau kepada kita dari dunia fesyen. Paling menyedihkan, kita dimanipulasikan untuk berfikir hanya dalam satu aliran.
Fesyen juga kini menjadi sekadar hiburan untuk paparan media sosial. Tetapi, tidakkah komuniti fesyen juga sepatutnya perlu mempertahankan maruah dan memberi respons terhadap isu sosial dan politik terkini? Seperti industri hiburan, fesyen juga mengaut keuntungan dan selalunya terlalai hingga tidak begitu peka dan prihatin, akhirnya menjadikan kita buta terhadap hal-hal yang sebenarnya berlaku di seluruh dunia.
Tidakkah kita pernah terfikir apa yang akan berlaku, jika kita gunakan platform media sosial bagi membincangkan bahawa industri fesyen terlalu menghabiskan masa dan wang untuk pertunjukkan fesyen besar-besaran dan pemasaran yang keterlaluan yang menjurus ka arah pembaziran?
Bagaimana jika wang yang diperuntukan itu digunakan untuk tujuan yang berbeza dan lebih bermakna? Adakah kita tidak sedar bahawa, penghasilan pakaian lebih daripada kehendak pasaran (over-producing) adalah antara faktor yang menjadikan industri fesyen pencemar kedua terbesar (second-biggest polluter) di seluruh dunia?
Fesyen kini hanya menyentuh permukaan sahaja dan sifat manusia yang mementingkan diri membuat kita terlupa akan perkara lain yang sedang berlaku seperti isu kepincangan sosial, perkauman, pendidikan, kemiskinan dan banyak lagi.
Mungkin sebahagian daripada kita berpendapat bahawa fesyen adalah media yang tidak sesuai untuk memperkatakan isu-isu sebegini. Akan tetapi, kita semua ada suara. Jika kita merasakan industri fesyen mempunyai laungan suara yang kuat, bukankah sudah tiba masanya pada tahun 2019 untuk kita gunakan medium ini demi membantu mereka yang memerlukan? Fikir-fikirkanlah.

* Faizal Hamid merupakan seorang Pensyarah, Penulis & Perunding Fesyen. Beliau berpengalaman luas menyumbang kepakaran dalam industri fesyen tempatan/ antarabangsa lebih 25 tahun. Berpengalaman menuntut dan bekerja di New York dan Paris di bawah selian pereka antarabangsa seperti Calvin Klein, Donna Karan dan Christian Lacroix.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Faizal Hamid #fesyen #Fesyen 2019
;